Buka sekolah: Jangan sampai belajar sambil bersila

NYZA AYOB | .

BANJIR gelombang kedua yang teruk melanda beberapa buah negeri baru-baru ini memberi kesan yang cukup besar bukan sahaja kepada kehidupan mangsa banjir akibat kemusnahan tempat tinggal dan harta benda, tetapi kesannya turut dirasai seluruh masyarakat Malaysia. Bagi mengupas mengenai perkara ini, Harakahdaily mendapatkan pandangan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir.

HARAKAHDAILY: Banjir yang berlaku menyebabkan banyak sekolah-sekolah mengalami kerosakan yang terus. Ini sudah tentu menyukarkan sesi persekolahan yang tidak lama lagi akan dibuka.

ANUAR TAHIR: Sudah tentu menjadi tanggungjawab kerajaan memperbaiki prasarana yang rosak khususnya sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir. Keutamaan mesti diberikan bagi menggantikan barangan yang rosak di sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir khususnya Kelantan dan Terengganu. Kerajaan Pusat mesti mengambil tindakan kerana pendidikan di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.

Jika ada peruntukan untuk pembelian peralatan baru seperti kerusi dan meja bagi sekolah-sekolah di Pantai Barat yang tidak terlibat dengan banjir, ia patut disalurkan di sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir ini dahulu. Takkanlah dalam sesi persekolahan yang akan dibuka ini pelajar-pelajar akan belajar sambil bersila di atas lantai. Perkara ini mesti diberi keutamaan.

Bagi ibu bapa yang terlibat dengan banjir, tentu menimbulkan kebuntuan di kalangan mereka untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Tambahan pula harga kelengkapan persekolahan termasuk pakaian seragam meningkat sehingga 30 peratus. Bagaimana bebanan dan kebuntuan ibu bapa ini dapat dikurangkan?

Ya, sudah tentu kenaikan kos ini menyebabkan ibu bapa tertekan. Apatah lagi berdepan dengan musibah banjir. Oleh sebab itulah, saya bersama dengan NGO yang saya anggotai akan turun ke Kelantan menghulurkan bantuan kelengkapan persekolahan. Jadi, saya amat berharap akan banyak lagi pertubuhan-pertubuhan atau orang perseorangan akan menghulurkan bantuan kelengkapan persekolahan.

Kita tahu rakyat Malaysia amat pemurah. Saya amat berharap dalam keadaan ini kita lupakan isu kepartian. Ini bukan masanya untuk mencari 'political mileage'. Begitu juga saya berharap agihan akan berlaku sama rata dan janganlah tertumpu di satu-satu tempat atau kawasan yang akhirnya yang menyebabkan mereka yang betul-betul memerlukan tidak dapat.

Ikuti temubual penuh dalam akhbar HARAKAH BIL 2011 EDISI JUMAAT di pasaran sekarang.

Share on Myspace