Takziah kepada keluarga Allahyarham Sabri Ahmad

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) merakamkan takziah kepada balu dan keluarga Allahyarham Bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Tan Sri Sabri Ahmad yang meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi tadi di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

Presiden Anak, Mazlan Aliman memohon semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

"Saya difahamkan oleh kakitangannya, Allahyarham rajin membaca al-Quran walau di mana sahaja berada sama ada di pejabat ataupun di dalam kereta, moga rohnya di tempatkan di kalangan orang yang beriman," ujar Mazlan kepada Harakahdaily.

Mazlan, bagaimanapun telah menghantar beberapa wakil Anak bagi menziarahi keluarga beliau dan memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham di kediamannya hari ini.

Solat jenazah dilakukan di Masjid Bukit Jelutong selepas zohor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Allahyarham menggantikan Tan Sri Bakkee Salleh, sebelum tempatnya digantikan oleh Dr Emir Mavani.

Allahyarham pernah menerajui FGV dari Julai 2010 hingga Julai 2013. Beliau sebelum ini dilaporkan menghidap kanser.

Selain FGV, Sabri pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Golden Hope Plantations Bhd (dahulunya Harrison Malaysian Plantations Berhad) dari Januari 2004 hingga November 2007.

Beliau menyertai Kumpulan Golden Hope pada tahun 1985 sebagai Pengurus Pemasaran dan Penyelidikan dan kemudian memegang pelbagai jawatan termasuk Pengarah Kumpulan Perusahaan 2002-2003, Pengarah Kumpulan Perniagaan Agro 1999-2002, Pengarah Operasi Luar Negeri / Pemasaran Kumpulan 1993-1999, Pengarah Pemasaran (1990-1992) dan Pemangku Pengarah Pemasaran sejak tahun 1990. – HARAKAHDAILY 8/1/2014

Share on Myspace