PAS kecam Setiausaha Agung OIC ke Baitul Maqdis

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengecam tindakan Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Iyad Madani yang mengadakan lawatan ke Masjidil al-Aqsa, Baitul Maqdis.

Katanya, tindakan lawatan bagi mewakili organisasi OIC adalah satu langkah ke belakang, dan mempermainkan usaha berterusan umat Islam untuk membebaskan bumi Baitul Maqdis dari taklukan pihak Zionis Israel.

"PAS melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan Iyad Madani.
 
"Tindakan lawatan berkenaan bukan sahaja bercanggah dengan pandangan majoriti ulama Islam dalam keadaan tanah berkenan dijajah dan ditadbir secara haram oleh rejim Zionis Israel, bahkan juga ianya seolah-olah mengiktiraf pendudukan pihak Zionis Israel.

"Apatah lagi suasana yang ada pada masa ini ialah penduduk Palestin di kawasan itu sedang dizalimi, ditindas dan dibunuh secara kejam oleh pihak Zionis Israel," ujarnya yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Menurut Ahli Parlimen Marang itu lagi, tindakan lawatan itu juga telah mempersia-siakan tuntutan jihad yang menjadi fardhu ain terhadap umat Islam di negara sekitar Palestin dan seluruh dunia Islam untuk membebaskan Baitul Maqdis dari tangan Zionis Israel.

Juga tegasnya, adalah tidak wajar perkara yang sunat didahulukan dari tuntutan kewajipan jihad membebaskan bumi Baitul Maqdis. - HARAKAHDAILY 8/1/2015

Share on Myspace