Rakyat ingin tahu kenapa surat Zahid ditarik balik

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Adakah perihal surat Menteri Dalam Negeri kepada pihak FBI yang menjamin integriti seorang warga Malaysia yang didakwa ‘raja judi’ Paul Phua yang sedang dibicarakan di Las Vegas Nevada, dan bertentangan dengan komunikasi pihak polis dengan FBI, dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam?" tanya Lim Kit Siang.

Beliau berkata, sepatutnya dibincangkanlah sekiranya para menteri peduli dengan kepentingan serta reputasi antarabangsa negara, dan sekiranya sistem pentadbiran negara telah melalui proses transformasi, mendaulatkan prinsip-prinsip akauntabiliti dan urustadbir yang baik.

Lagipun, katanya para menteri seperti juga rakyat Malaysia yang lainnya pasti teringin mahu tahu kenapa surat Zahid itu ditarik balik dalam kes di mahkamah Nevada di Las Vegas selepas Putrajaya membantah surat tersebut digunakan dalam pembelaan Paul Phua.

Ahli Parlimen Gelang Patang itu menambah, surat Zahid jelas mempertahankan Phua.

"Siapa yang membantahnya daripada digunakan di mahkamah terbuka? Zahid, Peguam Negara, pihak polis atau Perdana Menteri sendiri?" tanya beliau lagi.

Lim juga bertanya adakah menteri-menteri Malaysia juga sekumpulan politikus khas yang seperti hikayat tiga beruk yang punya mata tetapi tidak melihat, punya telinga tetapi tidak mendengar dan punya mulut tetapi tidak berkata-kata, yang langsung tidak berminat dengan apa yang dibuat dan dicakapkan oleh menteri lain, walaupun mereka terikat dengan prinsip pertanggungjawaban kolektif.

"Saya tidak rasa surat Zahid kepada FBI itu sampai pun ke peringkat Kabinet semalam, jika tidak tentulah rakyat Malaysia dimaklumkan tentang keputusan Kabinet mengenainya.

"Menteri-menteri kita adalah tergolong dalam kelompok istimewa, mereka pastinya tahu untuk tidak mencari masalah," ujarnya. - HARAKAHDAILY 8/1/2015

Share on Myspace