UM larang anjur aktiviti politik, notis membabi buta

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Adakah menjadi satu kesalahan apabila pensyarah Universiti Malaya menganjurkan aktiviti politik?" tanya Presiden PMUM, Mohamad Ammar Atan.

Beliau juga bertanya apakah yang dimaksudkan dengan politik dari kaca mata pihak pentadbiran Universiti Malaya.

Tanya beliau lag, adakah dengan penganjuran aktiviti politik seperti diskusi bajet 2015, public polisi, isu-isu kebangsaan, alam sekitar dan sains politik merupakan satu kesalahan yang bercanggah dengan peruntukan perundangan yang dinyatakan.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons terhadap Universiti Malaya yang mengeluarkan larangan penglibatan staf sebagai penganjur aktiviti politik di dalam dan luar negara.

“semua staf Universiti Malaya termasuk yang sedang bercuti belajar, bercuti rehat, menghadiri seminar atau berkursus di dalam atau luar negara untuk… tidak bergiat secara aktif sebagai penganjur dalam mana-mana aktiviti politik”.

Justeru, kata Mohamad Ammar, PMUM berpandangan bahawa notis yang dikeluarkan merupakan notis yang membabi buta tanpa kajian yang tepat dan tidak berdasarkan pemahaman yang jelas berkaitan aktiviti politik.

Oleh itu, ujar beliau PMUM mencadangkan agar penelitian diberikan semula kepada maksud sebenar aktiviti politik kerana skop yang diberikan terlalu luas dan tidak pada skop yang tepat, ia penting supaya tidak menutup pintu akademik di alma mater nombor 1 Malaysia ini.

Justeru, ujarnya soal taat kepada Yang di-Pertuan Agong, negara, kerajaan dan Universiti Malaya tidak boleh dinafikan, namun adakah dengan tindakan atau aktiviti yang dilihat membelakangi kerajaan atau universiti sudah boleh dilabel sebagai tidak taat dan pengkhianat.

"Oleh itu, PMUM membantah sekeras-kerasnya notis larangannya yang dikeluarkan dan menggesa supaya ia ditarik semula dan penelitian dan kajian yang tepat perlu dilakukan semula," katanya. - HARAKAHDAILY 8/1/2015

Share on Myspace