Ambil masa bina semula rumah mangsa banjir

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA KRAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah mengganggarkan hampir 90 peratus kerosakan harta benda termasuk kemusnahan rumah di Dun itu akibat bencana banjir.

Jelas beliau, kerosakan itu telah mengakibatkan aktiviti harian penduduk di kawasan tersebut lumpuh sepenuhnya.

‎"Kawasan yang paling teruk adalah di Kampung Manjoi, Karangan, Laloh, Peria dan Sungai Sok.

"Majoritinya kerosakan harta benda, kemusnahan tempat tinggal," katanya ketika ditemui Harakahdaily.‎

‎Beliau berkata, kerajaan negeri bersama kerajaan pusat akan menyediakan ‎penempatan sementara kepada mangsa-mangsa banjir.

"Kita akan menyediakan penempatan sementara untuk tempoh tiga bulan dan jika belum selesai ia akan dilanjutkan sehingga enam bulan.

"Melihat kepada apa yang berlaku proses pembinaan rumah ini mengambil masa yang agak lama," sambung beliau.‎

Beliau mengucapkan terima kasih di atas kerjasama semua pihak sama ada PAS di peringkat negeri mahupun pusat terutama Jabatan Amal.

"Bantuan makanan tidak terputus sejak awal bencana sehingga sekarang, terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan makanan untuk penduduk setempat.‎

"Untuk misi sekarang kita sudah mula mencuci surau dan masjid serta sekolah, selepas ini akan meneruskan operasi mencuci rumah-rumah penduduk kampung," katanya lagi.‎

Sementara itu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang melawat Manek Urai turut memberi bantuan seribu dapur gas kepada Pejabat Dun itu untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir‎ sebelum melawat beberapa buah kampung terlibat.

Turut serta Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Dr Riduan Mohd Nor. - HARAKAHDAILY 9/1/2015

Share on Myspace