Cari jalan terbaik jadikan 2015 bebas kemalangan bas

HARAKAHDAILY | .

IPOH: Kerajaan melalui agensi-agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di jalan raya harus mengambil iktibar dan mencari jalan terbaik supaya tahun 2015 bebas daripada kemalangan yang melibatkan bas.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, berdasarkan statistik Kementerian Pengangkutan, sebanyak 140 kes kemalangan yang melibatkan bas telah berlaku sejak tahun 2007 iaitu dalam tempoh 8 tahun.

"Secara purata 18 kes kemalangan yang melibatkan bas berlaku setiap tahun di negara kita. Ini adalah satu angka yang sangat memeranjatkan dan menggerunkan," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Pada tahun 2014, Malaysia telah melalui pelbagai dugaan dan cabaran. Misteri kehilangan MH370 dan MH17 ditembak telah menjadi kenangan pahit yang tidak mudah dilupai oleh seluruh rakyat negara kita.

Kehilangan nyawa penumpang-penumpang kapal terbang ini menjadi isu terbesar dan menarik perhatian seluruh dunia.

Tetapi, kita perlu sedar bahawa ratusan malah ribuan nyawa juga terkorban di jalan raya setiap tahun di negara kita.

Perkara ini tidak menjadi isu utama atau tajuk perbualan hangat dalam kalangan kita.

Pihak media melaporkan kemalangan jalan raya hampir setiap hari, tetapi perkara ini tidak dipedulikan langsung oleh kebanyakan daripada kita.

Nyawa orang-orang yang mati di jalan raya juga sama nilainya dengan nyawa orang-orang yang mati dalam malapetaka kapal terbang.

Setiap hari berlaku kemalangan jalan raya di negara kita dan puluhan orang mengalami kecederaan parah dan menemui ajal. Lebih-lebih lagi, pada musim perayaan, kemalangan dan kematian di jalan raya sudah menjadi lumrah.

Setiap kali kita menyambut perayaan, ada juga keluarga yang terpaksa menitis air mata kerana kehilangan ibu bapa, anak, dan sanak saudara akibat kemalangan maut.

Walaupun terdapat usaha-usaha diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan tetapi masalah ini masih tidak dapat ditangani dengan baik. Antara sebab-sebab kemalangan meningkat ketika musim perayaan ialah:-

i) Pertambahan bilangan kenderaan secara mendadak di jalan raya
ii) Kesesakan lalulintas yang amat teruk
iii) Kepenatan dan kelesuan pemandu
iv) Pemandu yang tidak kompetan dan tidak bertanggungjawab

Kemalangan yang melibatkan bas juga kerap berlaku dalam musim perayaan. Kalau kita melihat kepada statistik yang diberikan oleh Kementerian Pengangkutan, sebanyak 140 kes kemalangan yang melibatkan bas telah berlaku sejak tahun 2007 iaitu dalam tempoh 8 tahun.

Secara purata 18 kes kemalangan yang melibatkan bas berlaku setiap tahun di negara kita. Ini adalah satu angka yang sangat memeranjatkan dan menggerunkan.

Kita masih berada di awal tahun 2015, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan harus mengambil segala langkah yang sewajarnya untuk memastikan tidak ada lagi kes kemalangan jalan raya yang melibatkan bas pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.

Kita tidak mahu melihat nyawa rakyat kita terkorban di jalan raya kerana kesilapan dan kecuaian pihak ketiga atau kerana kelemahan kerajaan menanganinya.

Kementerian Pengangkutan harus mengambil usaha-usaha untuk memastikan had kelajuan dikawal selia dengan cukup sempurna supaya pemandu-pemandu bas tidak mudah terlepas daripada melakukan kesalahan itu.

Kebanyakan kes kemalangan yang melibatkan bas adalah akibat daripada hilang kawalan kerana memandu dengan laju.

Selain itu, memandu dalam keadaan mengantuk dan lesu serta memandu secara bahaya dan tahap kompetensi yang lemah adalah antara faktor-faktor lain yang perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan.

Kementerian Pengangkutan harus mengariskan rancangan-rancangan khas dan pelan-pelan strategik tertentu untuk memastikan supaya kemalangan tidak berlaku kerana kecuaian pemandu-pemandu bas ini.

Tambahan pula, penyelenggaran kenderaan yang lemah, tahap pengurusan dan amalan keselamatan yang rendah, binaan bas yang tidak menepati piawaian keselamatan antarabangsa dan sebagainya juga menjadi penyebab kemalangan bas yang kerap berlaku di negara kita.

Oleh yang demikian, kerajaan melalui agensi-agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di jalan raya harus mengambil iktibar mencari jalan terbaik supaya tahun 2015 bebas daripada insiden kemalangan yang melibatkan bas. - HARAKAHDAILY 9/1/2015

Share on Myspace