Kelewatan projek 1MDB, rakyat bakal tanggung kos RM997 juta

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kos tambahan yang perlu ditanggung rakyat akibat kelewatan projek pembinaan Janakuasa Jimah Timur oleh 1MDB dianggarkan antara RM370 hingga RM997 juta, jika kelewatan mencecah satu tahun, demikian menurut Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Rafizi dalam kenyataannya hari ini berkata, kos ini akan ditanggung oleh rakyat dalam bentuk tariff elektrik yang lebih tinggi apabila Tenaga Nasional sebagai pembekal elektrik tunggal terpaksa menampung keperluan elektrik yang dijana pada kos yang lebih mahal akibat kegagalan 1MDB menyiapkan stesen janakuasa mengikut perjanjian.

Oleh yang demikian, beliau menyeru supaya Suruhanjaya Tenaga membuat pendirian yang jelas dengan tidak memberi ruang kepada 1MDB melewatkan projek stesen janakuasa Jimah Timur yang dianugerahkan ini kerana kos yang ditanggung rakyat adalah terlalu tinggi.
"Jika ia tetap tidak boleh menyiapkan stesen janakuasa itu mengikut tarikh yang telah dipersetujui, saya mendesak supaya kontrak yang menganugerahkan stesen janakuasa ini kepada 1MDB dibatalkan (kerana telah melanggar perjanjian) dan satu proses tender terbuka dimulakan untuk melantik syarikat baru membina dan mengendalikan stesen janakuasa Jimah Timur," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Jika Suruhanjaya Tenaga membenarkan permohonan 1MDB ini, katanya, rakyat akan menanggung kos tambahan kerana Tenaga Nasional terpaksa meningkatkan operasi stesen janakuasa lain di luar kapasiti biasa untuk menampung bekalan elektrik yang telah gagal disediakan mengikut jadual oleh 1MDB.

"Apabila stesen janakuasa lain terpaksa beroperasi melepasi kapasiti biasa, Tenaga Nasional terpaksa pula membeli bahan bakar melebihi kontrak bekalan bahan api bagi operasi biasa yang selalunya melibatkan premium.

"Selain itu, stesen janakuasa lain yang terpaksa menampung kegagalan 1MDB ini juga terdedah kepada risiko kerosakan sekiranya terus beroperasi di luar kapasiti biasa," katanya.

Rafizi mendakwa dibekalkan dengan maklumat terperinci mengenai rundingan yang berlaku di antara Suruhanjaya Tenaga dan 1MDB susulan permohonan 1MDB menangguhkan tarikh kontrak dan tarikh operasi stesen janakuasa bebas Jimah Timur yang dianugerahkan kepada 1MDB sebelum ini.

1MDB telah menulis secara rasmi kepada Suruhanjaya Tenaga pada 13 November 2014 untuk mendapat tempoh lanjutan dan satu mesyuarat telah diadakan di antara pihak terbabit pada 4 Disember 2014.

1MDB sebelum ini telah dianugerahkan kontrak untuk menyiapkan stesen janakuasa dengan kapasiti janaan 2,000 MW untuk dibekalkan kepada Tenaga Nasional Berhad. Perjanjian Jual Beli Tenaga (PPA) yang ditandatangani menetapkan bahawa unit 1 stesen janakuasa itu perlu beroperasi pada 15 November 2018, diikuti dengan operasi unit 2 pada 15 Mei 2019.

"Dokumen-dokumen yang dibekalkan kepada saya menunjukkan bahawa 1MDB telah memohon supaya tarikh-tarikh operasi ini dianjak 6 bulan kepada 15 Mei 2019 (unit 1) dan 15 November 2019 (unit 2)," katanya. – HARAKAHDAILY 9/1/2015

Share on Myspace