Kerjasama Kelantan-Pusat untuk bantu mangsa banjir

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Kerjasama kerajaan Kelantan dengan Persekutuan sekarang atas dasar semangat ‘federalisme’ dan langsung tiada kaitan dengan politik, sebaliknya lebih kepada penyelesaian masalah rakyat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata, kerjasama itu lebih kepada untuk menyelesaikan masalah banjir di negeri ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis angkat sumpah Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam di Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, di sini semalam.

Katanya lagi, kerjasama Kelantan kini lebih kepada semangat tersebut demi untuk membantu mangsa banjir.

“Ianya bukan kerjasama politik, malah  langsung tidak disebut  apa lagi untuk dibincangkannya,”ujarnya lagi.

Katanya, jawatankuasa bersama juga telah diwujudkan untuk menyelaraskan kerja-kerja  membantu mangsa banjir memandangkan ada di antaranya melibatkan agensi kerajaan Pusat.

Pada masa yang sama beliau menolak banjir besar yang melanda Kelantan akibat pembalakan, sebaliknya taburan hujat lebat.

“Sebagaimana yang dimaklumkan (Jabatan) Meteorologi baru-baru ini air hujan yang turun selama empat hari menyamai dengan taburan biasa selama 64 hari," katanya.

Katanya, banjir 2014 memang mengejutkan bahkan ianya melebihi sejarah banjir 1924, 1967 dan 2004. - HARAKAHDAILY 9/1/2015

Share on Myspace