Banci untuk sumbangan rumah kepada mangsa banjir

HAZAYANI ZAKARIA | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan melalui agensi-agensinya perlu melakukan bancian segera berkaitan keperluan rumah bagi mangsa banjir di negeri itu.

Maklumat berkaitan perlu didedahkan kepada umum bagi merangsang badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan untuk memberikan sumbangan bagi membina rumah untuk mangsa banjir.

Presiden Petubuhan R Kelantan (Royalti), Nazri Deraman berkata, ia juga sebagai sokongan kepada idea Pemuda PAS Malaysia untuk membangunkan Projek Perumahan Rakyat Budiman (PRB) dalam usaha melaksanakan 10 peratus daripada keseluruhan rumah yang musnah akibat banjir.

"Pihak penyumbang sama ada NGO  atau orang perseorangan boleh akses kepada maklumat bancian tersebut  dan tertarik untuk memberi sumbangan.

"Tanpa maklumat yang lengkap, mereka tidak dapat tahu sejauh mana keperluan rumah tersebut dan kita bimbang sumbangan tersebut diberikan kepada pihak yang tidak ada keperluan mendesak untuk mendapatkan rumah," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Nazri turut menyarankan agar kerajaan negeri memansuhkan prosedur-prosedur yang melambatkan proses pembinaan rumah kerana mangsa banjir yang kehilangan rumah sangat memerlukan rumah dengan segera.

"Sebagai contoh majlis daerah yang menyebabkan tempoh pembinaan yang begitu lama, kos yang begitu besar untuk  pengurusan, cas kepada arkitek, jurutera dan konsultan yang berkaitan termasuk majlis daerah dikenakan cas.

"Jika kerajaan tempatan masih lagi menguatkuasakan undang-undang seperti mana yang termaktub dalam undang-undang biasa tersebut ini akan menyukarkan pengurusan dan meninggikan kos pembinaan rumah tersebut," katanya lagi.

Tambah beliau juga, kaedah Industrialised Building System (IBS) perlu dilaksanakan dalam PRB bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk, mempercepatkan tempoh pembinaan serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Kalau guna IBS, kos pembinaan lebih murah dan mengambil masa yang singkat, sesuai untuk situasi mangsa banjir yang memerlukan rumah dengan segera," katanya.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri harus memainkan peranan penting dalam membantu mangsa banjir di samping sokongan daripada NGO.

"Saya tak yakin NGO dan orang perseorangan boleh menyelesaikan masalah rumah ini secara keseluruhan jadi peranan yang utama perlu dimainkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya. - HARAKAHDAILY 9/1/2015

Share on Myspace