Kerajaan P. Pinang hantar sumbangan rakyatnya ke Kelantan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Selain membawa barangan keperluan asas, misi Bantuan Banjir Pantai Timur daripada kerajaan Pulau Pinang ke Kuala Krai, Kelantan turut dilengkapkan dengan kehadiran dua buah kontena air sumbangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Bekalan air tersebut bukan hanya untuk memenuhi keperluan mangsa, malah juga akan digunakan untuk membersihkan kira-kira enam sekolah di Kuala Krai.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng yang juga bersama dalam misi itu turut memberi sumbangan sebanyak RM200,000 kepada parlimen Kuala Krai melalui wakil rakyatnya Dr Mohd Hatta Ramli dan badan kebajikan serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan sebanyak RM260,000.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang 'datang' dengan sedikit sumbangan derma dan dua kontena air dari PBAPP untuk membantu membekalkan air dan mencuci kira-kira enam sekolah di sini," katanya di laman Facebooknya hari ini.

Turut membantu adalah sukarelawan pertubuhan NGO, Tzu Chi Malaysia yang menghantar seramai 800 anggota.

"Kita di sini satu hati sebagai rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu,'' katanya di Kuala Krai pagi ini.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah PBAPP, Mohamad Sabu yang turut berada di lokasi menyatakan bahawa sebanyak mana sumbangan yang diberikan, ia masih tidak sama dengan beban dipikul rakyat di sini.

"Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kita datang sama-sama membantu apa yang mampu,'' ujar beliau.

Dr. Mohd. Hatta yang menerima sumbangan daripada Ketua Menteri melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Kita di Kuala Krai baru ingin dipulihkan dari aspek semangat dan juga fizikal. Terima kasih kepada semua pihak. Diharapkan hubungan baik antara kerajaan dan rakyat akan kekal dan bertambah baik, juga keadaan di Kuala Krai akan pulih,'' ujarnya beliau.

Kerajaan Pulau Pinang turut menyumbangkan RM50,000 kepada SRJK (C) Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan. Sekolah tersebut antara sekolah yang teruk terjejas dalam kejadian banjir baru-baru ini.

Difahamkan sebanyak 40 komputer baru yang diterima pihak sekolah dalam tempoh seminggu musnah dalam kejadian berkenaan.

Misi Bantuan Banjir Pantai Timur Pulau Pinang dipecahkan kepada tiga pasukan iaitu pasukan ke Kuala Krai, Jeli, Dabong dan Tanah Merah.

Sebanyak 12 kenderaan membawa 2,500 karton barangan sumbangan rakyat negeri Pulau Pinang untuk mangsa-mangsa banjir berlepas ke Kelantan tepat pada jam 11.30 malam tadi.

Misi disertai kira-kira 48 peserta diketuai Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai. Turut disertai pucuk kepimpinan dan Exco Kerajaan Negeri. – HARAKAHDAILY 9/1/2015

Share on Myspace