Kelantan bentuk sukarelawan rakyat

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Kerajaan negeri mewujudkan sukarelawan rakyat kalangan peserta Perbadanan Ladang Rakyat dan kakitangan lantikan politik bagi membersih kesan-kesan banjir di seluruh Kelantan.

Lantikan politik terdiri daripada penghulu, ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan Unit Dakwah Halaqat. Mereka mempunyai kekuatan lebih 10,000 anggota.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sebelum ini mereka tidak dikerah kerana ramai terbabit dengan banjir.

“Peserta Ladang Rakyat, penghulu, ahli-ahli majlis daerah juga ramai terbabit dengan banjir. Selepas keadaan reda kita bentuk sukarelawan rakyat kalangan mereka di setiap Dun.

“Seramai 100 peserta Ladang Rakyat bergabung dengan kakitangan lantikan politik digerak bagi melakukan kerja-kerja kebersihan dan sisa pepejal di kawasan yang terjejas akibat banjir,” katanya selepas merasmikan majlis angkat sumpah ahli majlis Majlis Daerah Dabong (MDD) di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, Yang Dipertua MDD, Nik Mohd Noor Nik Ishak, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Salleh Man dan Panglima 8 Briged, Jeneral Datuk Azmy Yahya.

Menteri Besar juga melahir rasa syukur selepas musibah banjir Allah Taala turunkan pula rahmat hujan yang mencurah-curah kelmarin.

“Hujan dapat membersihkan lumpur dan debu di kawasan bandar. Allah amat adil hujan turun membersihkan kawasan bandar.

“Kalau tidak ada hujan kita khuatir boleh menyebabkan penyakit akibat debu. Hujan lebat membersihkan segala debu,” ujarnya.  

Pada lawatan itu Menteri Besar turut meninjau jambatan kereta api di Kemubu yang runtuh akibat rempuhan arus deras.

Longgokan kayu-kayu hanyut tersangkut di atas jambatan terbabit. Biar pun keadaan lumpur agak tebal dan hujan lebat Ustaz Ahmad berjalan kaki melewati tempat tersebut.

Turut serta di lokasi itu anggota Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, Penyelia Dun Dabong Ku Mohd Zaki Ku Hussin, Penyelia Parlimen Gua Musang, Azman Ahmad, Penyelia Dun Galas, Abdullah Hussin dan Penyelia Dun Nenggiri, Syed Azhar Syed Ahmad.

Rombongan Menteri Besar turut meninjau kesan banjir di Kampung Bertam Lama dan Kampung Pasir Tumbuh di Dun Nenggiri. - HARAKAHDAILY 10/1/2015

Share on Myspace