AirAsia hulur bantuan kepada mangsa banjir Pantai Timur

HARAKAHDAILY | .

KOTA BHARU: AirAsia Berhad terus menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar, bersama-sama 16 sukarelawan daripada syarikat penerbangan tersebut tiba di Kota Bharu kelmarin bagi membantu dalam kerja-kerja pembersihan dan pembinaan semula penempatan masyarakat di kawasan yang dilanda banjir di Pantai Timur.

Kumpulan tersebut turut berhenti di Machang bagi bertemu dengan wakil dan sukarelawan Mercy Malaysia di mana Aireen diterangkan mengenai situasi banjir.

Rombongan meneruskan perjalanan ke Kuala Krai di mana AirAsia kit keselesaan dan pakaian telah diagihkan kepada masyarakat tempatan di sana.

Syarikat penerbangan itu setakat ini telah membantu pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mercy Malaysia, Muslim Care Malaysia, Ikram, Pertubuhan Graduan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) dan banyak lagi dengan menyediakan ruang kargo percuma bagi menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, bekalan perubatan, pakaian dan keperluan lain.

Sebanyak 36 tan barangan bantuan telah berjaya dihantar dan diedarkan di Kota Bahru.

Selain itu, AirAsia Berhad juga telah menyokong pelbagai sukarelawan seperti doktor perubatan, jururawat dan kaunselor dengan penerbangan untuk membantu di kawasan yang terjejas.

Setakat ini, AirAsia telah menerbangkan 182 kakitangan perubatan dan sukarelawan secara percuma ke Kota Bahru.

"Kelantan adalah salah sebuah negeri yang paling teruk dilanda banjir, dan kami bersimpati kepada mereka yang terjejas akibat bencana ini termasuklah kakitangan AirAsia yang berpusat di stesen Kota Bharu.

"Kami menghulurkan bantuan seberapa banyak yang kami mampu bagi meringankan beban masyarakat yang melalui keadaan yang sukar ini dan berharap mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa," kata Aireen.

Menurutnya, selain barangan bantuan dan aktiviti pembersihan, AirAsia Foundation dengan kerjasama Mercy Malaysia telah melancarkan kempen kutipan derma di dalam semua penerbangan AirAsia.

"Kempen kutipan derma ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan kemurahan hati tetamu-tetamu di dalam penerbangan kami amat menyentuh hati kami.

"Kami berharap untuk mengumpul sebanyak mungkin agar kami dapat membantu masyarakat di Pantai Timur membina semula kehidupan mereka secepat mungkin," ujarnya

Kempen derma Pantai Timur Tabung Bantuan Banjir AirAsia sedang berlangsung dari 2 hingga 18 Januari melalui kutipan di dalam penerbangan AirAsia dan dalam talian di www.airasiafoundation.com/relieffund. - HARAKAHDAILY 10/1/2015

Share on Myspace