S'gor sumbang RM500,000 bina khemah mangsa banjir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu bagi lawatan kerja sehari pasca banjir di Kelantan.

Beliau mengetuai rombongan kerajaan negeri yang disertai dua exco, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Daroyah Alwi menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiba jam 9.10 pagi dan disambut oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan anggota exco, Datuk Hanifa Ahmad.

Lawatan kerja sehari itu akan bergerak ke Kuala Krai dan Manek Urai bagi membantu dan melihat kawasan banjir untuk kerja-kerja pembersihan, lapor Selangor Kini.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dipertanggungjawabkan untuk bertugas di dua kawasan berkenaan.

Mohamed Azmin menyertai delegasi misi bantuan kemanusiaan pasca banjir bersama lebih 500 pegawai dan anggota PBT dari Selangor ke Kelantan pagi ini.

Beliau dan warga kerja MPAJ dan Pantas akan tumpu di Kuala Krai hari ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua YDP dan warga kerja dari 12 PBT Selangor yang memberi khidmat bakti mereka kepada mangsa banjir," katanya.

Beliau memberitahu, Kerajaan Selangor menyumbang RM500,000 lagi untuk pembinaan khemah bagi penempatan sementara untuk mangsa banjir di Kelantan. - HARAKAHDAILY 10/1/2015

Share on Myspace