Ancaman: Terminal Lapangan Terbang Melbourne ditutup

BERNAMA | .

MELBOURNE: Sebuah terminal di Lapangan Terbang Melbourne dikosongkan pada Jumaat malam, berikutan ancaman yang dilaporkan dibuat terhadap Tigerair.

Insiden itu yang berlaku pada 9 malam, menyebabkan orang ramai dipindahkan dari Terminal Empat, manakala beberapa pesawat dilarang daripada berlepas.

Kawasan itu diisytiharkan selamat oleh Polis Victoria pada 5 pagi Sabtu.

Terminal lain tidak terbabit dalam penutupan itu.

Sementara itu, jurucakap Lapangan Terbang Melbourne Anna Gillett memberitahu akhbar The Age, penerbangan Tigerair dibatalkan sebaik pihak berkuasa mengambil tindakan, tetapi tidak menyatakan alasan penutupan selama tujuh jam terminal itu.

Gillett berkata lapangan terbang itu tidak pernah mengeluarkan maklumat mengenai isu-isu keselamatan.

Ketua Eksekutif Tigerair Australia Rob Sharp dalam kenyataan berkata: "Tigerair mengambil kira semua faktor keselamatan berkaitan ancaman itu sebagai sesuatu yang amat serius".

"Semua langkah yang perlu telah diambil oleh syarikat penerbangan itu dengan segera melibatkan pihak berkuasa berkaitan dan melaksanakan langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan penumpang.

"Keselamatan kakitangan dan penumpang adalah keutamaan operasi pada setiap masa dan tidak akan berkompromi," tambah beliau. - Bernama

Share on Myspace