Minyak sudah turun, tarif elektrik bila lagi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN digesa untuk memastikan tarif elektrik dikurangkan dengan segera.

Pengarah Dasar DAP Johor, Wong Shu Qi berkata, tidak ada alasan lagi untuk Najib tidak menurunkannya memandangkan harga bahan api telah menjunam dengan ketara sejak enam bulan lalu.

Katanya, walaupun TNB menyalahkan Kerajaan Persekutuan kerana tidak mengurangkan tarif elektrik, Najib perlu bertanggungjawab.

Jika tidak, ujarnya Najib harus mengeluarkan arahan kepada Suruhanjaya Tenaga untuk menerangkan kepada orang ramai mengapa tarif elektrik tidak boleh diturunkan.

“Beliau harus mengemukakan sebab yang kukuh dan bukannya omong kosong kerana seluruh rakyat Malaysia mengetahui harga minyak mentah telah menurun,” katanya dipetik Roketkini.

Pada Disember 2013, DAP telah membantah tindakan kerajaan meluluskan kenaikan tarif elekrik dan mendesak Suruhanjaya Tenaga menjelaskan kepada orang ramai mengenai Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) serta menerangkan mekanisme rasionalisasi subsidi untuk mewajarkan kenaikan tersebut.

Justeru, Shu Qi yang juga Adun Senai memohon Suruhanjaya Tenaga sekurang-kurangnya memaklumkan kepada orang ramai apakah formula ICPT masih diguna pakai dalam menentukan tarif elektrik.

“Jika jawapannya adalah ya, maka Suruhanjaya Tenaga perlu menjelaskan bagaimana tarif semasa ditetapkan,” katanya.

Menurut Shu Qi, TNB mengaut keuntungan sebanyak RM6.4 bilion bagi tahun kewangan terakhir pada Ogos 2014.

Ujarnya, wang tunai yang dijana daripada operasi syarikat itu sendiri berjumlah RM10.334 bilion untuk Tahun Fiskal 2014, dengan margin keuntungan kira-kira 15 peratus.

“Sebagai sebuah entiti perniagan monopoli, risiko perniagaan mereka adalah rendah sebab rakyat akan terus menggunakan tenaga elektrik dari TNB.

Oleh itu, kata beliau TNB akan menikmati keuntungan tidak berkesudahan sementara rakyat terus membayar tarif yang tidak adil.

Share on Myspace