Bah kuning: Jangan tuding jari salahkan Kelantan

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

MERUJUK kepada Kenyataan Media YAB Menteri Besar Kelantan bertarikh 31 Disember 2014 dan 3 Januari 2015 lalu, saya mengingatkan agar semua pihak tidak lagi menuding jari menyalahkan Kerajaan Negeri Kelantan dengan mendakwa bahawa banjir besar atau ‘bah kuning’ yang menimpa negeri itu berpunca daripada pembalakan haram.

Dalam kenyataan beliau, Ustaz Datuk Ahmad Yakob telah menjelaskan bahawa sistem pembalakan di negeri itu adalah mematuhi Kup Tahunan yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara dan pengurusan hutan pula memperoleh pensijilan (Malaysian Criteria & Indicators for Sustainable Forest Management) daripada badan bebas antarabangsa.

Taburan hujan tertinggi bagi tempoh 3 hari berturut-turut (21-23 Disember) iaitu 1,295 mm yang bersamaan taburan hujan bagi 64 hari adalah punca banjir besar yang melanda negeri itu yang mengakibatkan paras air di sungai-sungai utama di Kelantan meningkat secara mendadak.

Apa yang mendukacitakan ialah di kala rakyat Kelantan sedang meruntun jiwa menanggung beban kesan bah kuning dan pihak Kerajaan Negeri Kelantan pula sedang berhempas pulas memulihkan dan membangunkan semula kawasan terjejas serta membantu melengkapkan keperluan mangsa-mangsa banjir, ada pihak celupar mulut menuduh Kerajaan Negeri Kelantan dengan tuduhan yang tidak berasas dan dengan maklumat yang tidak masak.

Pada saat-saat genting sebegini, saya menyeru agar semua pihak tidak saling menuding menyalahkan pihak lain dan tidak juga menyebarkan fitnah yang bukan-bukan kerana ia akan menyulitkan keadaan dan tidak sedikit pun membantu memulihkan keadaan. Penjelasan oleh YAB Menteri Besar Kelantan adalah paling autentik dalam isu ini. - HARAKAHDAILY 10/1/2015

Share on Myspace