Ringgit jatuh teruk hingga 16 peratus

NYZA AYOB | .

KUALA LUMPUR: Nilai pertukaran asing di negara ini merosot kerana kemasukan pelaburan asing langsung yang semakin berkurangan, kata pakar ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakop.

Katanya, beberapa bulan yang lalu, kadar pertukaran wang asing adalah sekitar RM3 tetapi telah mencecah kepada RM3.60 bagi satu dolar AS yang menunjukkan kejatuhan kira-kira 16 peratus.

Menurutnya, selain peningkatan hutang dari luar negara, pelbagai isu dan krisis yang berlaku dalam negara turut memberi kesan negatif kepada nilai pertukaran wang asing.

Beliau juga menegaskan kemerosotan harga minyak yang jatuh kepada 50 ke 60 dolar AS setong menyebabkan hasil Petronas menurun yang turut memberi kesan kepada mata wang negara.

Begitu juga katanya, kemerosotan harga komoditi seperti minyak sawit yang memberi kesan kepada hasil eksport negara juga antara faktor nilai ringgit menurun.

Beliau berkata, apabila ekonomi negara kurang memberangsangkan disebabkan harga minyak dan komoditi yang merosot, ia menyebabkan pendapatan rakyat berkurangan.

Tambahnya, situasi berkenaan juga tidak memberi ruang kepada rakyat untuk melabur dalam pasaran saham yang akhirnya menyebabkan pasaran saham jatuh.

"Apabila pelabur tidak datang membeli di Bursa Saham Malaysia, ia akan menyebabkan harga saham jatuh. Kejatuhan saham di Bursa Malaysia itu melambangkan situasi ekonomi negara ini tidak menentu," katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Laporan lanjut dalam akhbar HARAKAH BIL 2012 yang berada di pasaran.

Share on Myspace