Individu berjaya balik kampung bangun komuniti

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menyedari keperluan asnaf daripada pelbagai aspek termasuk ibadah, penduduk Dewan Undangan Negeri (Dun) Sijangkang mengambil inisiatif membina sebuah musolla khusus untuk dimanfaatkan golongan itu termasuk orang ramai.

Musolla yang menelan belanja lebih RM100,000 itu adalah hasil sumbangan orang ramai termasuk badan korporat bagi keselesaan golongan asnaf yang menginap di Rumah Amal Asnaf al-Barakh di Batu 8, Sijangkang, Kuala Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk bersama-sama membangunkan golongan asnaf demi memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela, lapor Selangor Kini.

“Saya menghargai usaha jawatankuasa pengasas rumah amal ini kerana memiliki kesedaran sebagai anak Sijangkang untuk memenuhi keperluan golongan asnaf di situ dengan memberi kediaman sebagai tempat tinggal mereka.

“Perkara ini harus dicontohi oleh semua pihak dan diharapkan program sebegini dapat diteruskan oleh masyarakat tempatan di mana-mana kawasan sekalipun,” katanya ketika merasmikan Musolla Rumah Amal Asnaf al-Barakh, semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Adun Sijangkang juga ingin memastikan supaya 'budaya pulang ke kampung' diterapkan dalam kalangan masyarakat yang berjaya sebagai usaha membangunkan komuniti secara keseluruhan di negeri itu.

“Saya lihat perlu ada inisiatif untuk minta rakyat yang berjaya pulang ke kampung bagi membangunkan masyarakat kampung.

“Kita sudahpun memiliki seorang rakyat Sijangkang yang berjaya dengan menubuhkan rumah amal dan musolla ini dan saya mahu budaya itu diterapkan di seluruh tempat supaya kesedaran untuk membantu sesama masyarakat itu timbul,” katanya lagi.

Rumah Amal Asnaf al-Barakh mula dibina pada 27 Mei 2012 bertujuan membela golongan kurang bernasib baik dengan memberi prasarana dan kemudahan secara percuma kepada semua penghuni, antaranya perkhidmatan, tempat tinggal, pengangkutan dan pendidikan.

Share on Myspace