Maik sedia RM32 juta bantu mangsa banjir di Kelantan

BERNAMA | .

KOTA BAHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan RM32 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini, bulan lepas.
    
Yang Dipertuanya Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Fa-Iz Petra ibni Sultan Ismail Petra bertitah peruntukan daripada wang zakat MAIK itu telah diperkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
    
Bantuan yang disediakan termasuk bantuan 'one-off' sebanyak RM10 juta, membina dan membaiki rumah RM12 juta, perubatan RM2 juta, tabung bencana negeri RM2 juta, membaiki masjid RM5 juta dan perbelanjaan pelbagai RM1 juta.
    
Baginda bertitah pada pelancaran Pusat Trauma Mangsa Banjir MAIK di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji, di sini hari ini.
    
Tengku Mahkota itu bertitah penyelarasan bersama agensi lain akan dilakukan supaya bantuan yang dihulur dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan khususnya bagi mengelak pertindihan.    
    
Sementara itu, baginda bertitah penubuhan pusat trauma yang akan dikendalikan pakar dan doktor hospital kerajaan dan swasta dari Kelantan dan negeri lain itu bagi mendampingi mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal, harta benda dan anggota keluarga.
    
"Saya amat berdukacita dengan apa yang dialami sebahagian besar rakyat yang terlibat dengan malapetaka banjir. Melalui lawatan saya ke beberapa pusat pemindahan banjir dan tinjauan melalui helikopter membolehkan saya melihat sendiri kesusahan yang dialami mangsa.
    
"Saya merasakan penubuhan pusat trauma ini amat penting dengan hasrat memberi harapan dalam membina semula kehidupan masa depan mereka dan memberi pemeriksaan kesihatan kepada mereka yang memerlukan," titah baginda. - Bernama

Share on Myspace