Maklum balas kepada The Star dan kumpulan ‘Sederhana’

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

APA sahaja niat anda, kesan Kempen Suara Sederhana yang dimulakan oleh 25 'tokoh Melayu sederhana' melalui surat terbuka telah meletakkan komuniti Melayu Muslim dengan gambaran yang buruk sebagai komuniti yang membiarkan ekstremisme dan bersikap tidak toleran.

Dalam satu temubual oleh wartawan Sunday Star, Hariati Azizan, yang disiarkan dalam tiga muka surat itu, Datuk Noor Farida Ariffin, salah seorang 25 ‘tokoh Melayu sederhana’, menyatakan golongan muda dikalangan rakyat Malaysia mengalu-alukan surat terbuka mereka “kerana mereka tidak tahu samada terdapat lagi Melayu sederhana  di negara ini”. Beliau seterusnya menyatakan, “Apa yang kami ingin tunjukkan adalah masih terdapat Muslim berfikiran rasional sederhana di negara ini”. Apa yang digambarkan oleh beliau terhadap komuniti Melayu Muslim adalah komuniti itu sedang menghadapi kelumpuhan moral dan tidak memberikan tindak balas kepada apa yang beliau dakwa wujudnya ekstremisme komuniti itu bersikap  tidak toleran sehinggalah munculnya 25 ‘tokoh Melayu sederhana’ ini.      

Sebenarnya Melayu Muslim adalah komuniti antara paling toleran dan bertolak ansur di dunia ini dengan budaya menerima kepelbagaian yang berakar umbi dari Islam (yang mereka anuti). Tidak perlu berkhutbah mengenai sik sederhana dan toleran kepada mereka. Selepas kemerdekaan, mereka bersedia untuk berkongsi kuasa dengan komuniti lain dan memberikan kewarganegaraan kepada lebih sejuta pendatang yang membawa akhirnya kepada penghakisan kuasa politik mereka sendiri.

Cina, India dan lain-lain dibenarkan terlibat dalam perdagangan dan perniagaan, mengamalkan agama dan budaya mereka masing-masing sehingga mereka menjadi dominan dalam ekonomi di negara ini. Bandingkan dengan apa yang berlaku kepada etnik India di Burma selepas kemerdekaan. Tiga ratus ribu India Burma yang telah tinggal di negara itu sejak beberapa generasi dihalau keluar dan aset serta perniagaan mereka dirampas. Di Thailand dan Indonesia, minoriti pendatang dipaksa mengasimilasi dalam budaya tempatan.

Amat dikesalkan sekali, kempen yang dijalankan ini telah memburukkan lagi masalah ekstremisme dan gejala tidak toleran di Malaysia. Kenyataan Datuk Farida bahawa, “Kami ingin menyelamatkan negara ini daripada jatuh ke jurang kehancuran sebelum terlambat,” amat membimbangkan dan tidak disokong oleh bukti.

Media asing, dipengaruhi oleh kumpulan agama dan hak asasi manusia tempatan tertentu, menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak toleran, menekan hak agama dan budaya minoriti. Ini sama sekali tidak benar. Lihatlah kepada bilangan tokong, gereja dan kuil. Hampir setiap bulan terdapat sambutan perayaan Hindu, Kristian, Buddha dan Tao.

Kerajaan membenarkan dan menyokong sekolah aliran Cina dan Tamil sebagai maklum balas kepada permintaan komuniti ini untuk menggunakan bahasa mereka sebagai bahasa pengantar dan pembelajaran. Sekolah mubaligh yang ditubuhkan sejak zaman penjajahan masih diteruskan tanpa menukar nama dan disokong oleh kerajaan. Malaysia begitu toleran dan liberal sehingga gereja evangelical tertentu bergabung dengan gereja evangelical yang dikaitkan dengan Islamophobia di Amerika Syarikat dibenarkan berfungsi dengan bebas sekali.

Bandingkanlah dengan apa yang berlaku di bahagian lain di dunia ini. Di Myanmar, Rohingya Muslim menghadapi pembersihan etnik dan lebih 100,000 kini tinggal di kem pelarian. Perusuh dari kalangan  sami Buddha telah menyerang dan membunuh Muslim serta membakar premis perniagaan mereka di Sri Lanka dan Myanmar.

Di India, ekstremis Hindu daripada RSS dan VHP menjalankan pembunuhan beramai-ramai terhadap Muslim, Kristian dan minoriti lain. Baru-baru ini mereka memaksa Muslim dan Kristian supaya bertukar kepada Hindu dengan menjanjikan manfaat kebendaan.

Di Sweden, ekstremis membakar masjid dan di Jerman terdapat demonstrasi antiMuslim. Di AS terdapat operasi memprofil kaum Muslimin, membakar Al-Quran di tempat awam dan menutup kegiatan aktiviti kebajikan kaum Muslim. Syukur kepada Tuhan kita hidup di Malaysia.

CEO Wong Chun Wai menulis dalam Sunday Star, di bawah tajuk “Moderates unite”, bahawa sekumpulan kecil individu dan pertubuhan, tanpa rekod yang  boleh dipercayai dengan berani membuat kenyataan menghasut dan berbaur perkauman tetapi dengan kebenaran pihak berkuasa. Beliau tidak mendedahkan pertubuhan atau individu terlibat, sudah tentu untuk mengelakkan satu lagi tindakan saman, tetapi Datuk Farida menamakannya  iaitu Isma dan Perkasa.

Beliau menulis cabaran terbesar bagi golongan sederhana ialah “kemampuan dan kesanggupan mereka untuk menjelaskan, malah mengkritik, kelemahan komuniti dan agama mereka sendiri”. Apakah kelemahan dalam komuniti Melayu Islam dan Islam? Tolong perjelaskan.

Jika pertubuhan dan individu membuat kenyataan menghasut dan bersifat perkauman, maka perlu diambil tindakan  dan mendakwa pihak tersebut, tidak kira latar belakang agama atau etnik mereka. Jika pihak berkuasa bersubahat seperti yang didakwa oleh Wong, maka langkah boleh diambil untuk mendapatkan perintah mandamus terhadap mereka di Mahkamah Tinggi. Terdapat ruang perundangan yang wujud di negara ini untuk menangani mereka yang sering bersikap perkauman dan ekstremis. Anda tidak boleh meletakkan sebuah komuniti  bertanggungjawab terhadap tindakan individu dan pertubuhan. Anda tidak boleh bercakap mengenai perpaduan negara tetapi pada masa yang sama mewujudkan pemisahan etnik untuk menangani ekstremisme.     

Anda melabelkan Muslim yang menyokong kempen ini sebagai sederhana dan membayangkan orang lain sebagai ekstremis. Label yang anda letakkan ini mestilah dilihat dalam konteks global bagaimana strategi Imperialis-Zionis menyemai perpecahan dikalangan komuniti Muslim dengan melabelkan mereka sebagai ‘sederhana’, ‘ekstremis’, ‘fundamentalis’, dan ‘pengganas’.

Hamas yang menentang pendudukan Israel dianggap 'pengganas' manakala pihak berkuasa Palestin yang meninggalkan tindakan penentangan terhadap Israel  dan bertindak sebagai polis bagi pihak Israel di Tebing Barat dianggap 'sederhana'. Arab Saudi, di mana wanita tidak dibenarkan memandu kereta dianggap 'sederhana' manakala Iran yang menyokong perjuangan penentangan Palestin terhadap Israel dianggap sebagai 'ekstremis' dan 'penyokong keganasan'.

Pada 2007, Persidangan Menteri-menteri Luar Islam memberi amaran bahawa “benih perpecahan sedang disemai antara Muslim oleh musuh-musuh Islam dan Muslim melalui pelbagai strategi, polisi dan rancangan.” Kami berharap anda akan mempertimbangkan semula kempen anda ini , dalam konteks strategi Imperialis-Zionis  iaitu pecah dan perintah.

Tuduhan Datuk Farida bahawa Melayu “... tamak dan ... mahu menafikan hak bangsa lain...” merupakan satu penghinaan kepada Melayu Muslim dan tidak berasas sama sekali. Beliau yang lahir daripada pewaris DEB dan dasar tindakan afirmatif, adalah satu kenyataan  tidak mengenang budi. Purata pendapatan isirumah Melayu Muslim yang “tamak” dan penduduk asli ialah RM4,457 berbanding Cina RM6,630 dan India RM5,233. Sebilangan kecil Melayu Muslim yang tamak, yang datang dari kelas elit,  bersubahat dengan elit dari komuniti lain telah merampas dasar tindakan afirmatif dan (akibatnya) telah menafikan majoriti Melayu terbanyak untuk menikmati manfaatnya.

Agenda di sebalik kempen anda jelas menunjukkan tujuan untuk  memansuhkan dasar yang diusahakan pada 1980-an iaitu agar umat Islam hidup menurut Syariah, untuk meneruskan dasar penjajahan yang meminggirkan sistem perundangan Syariah serta menafikan hak dan tanggungjawab agama umat Islam untuk hidup di bawah undang-undang Syariah. Hariati juga mendedahkan ketika temubualnya dengan Datuk Farida, mendakwa bahawa “ekstremisme agama (Islam) telah meresapi masyarakat Malaysia sejak awal 1980-an”.  Maknanya, dengan sebab itu, Islam dipersalahkan dengan tuduhan ekstremisme. Tidak masuk akal sama sekali!

Tujuan kempen ini adalah dengan matlamat untuk menghasut mereka yang menyokong Syariah supaya bertindak balas dan ini akan menghasilkan perpecahan yang lebih mendalam dalam kalangan masyarakat kita. Kita tidak dapat menolak keinginan kebanyakan umat Islam untuk hidup di bawah undang-undang Syariah. Disebabkan itulah kami menyarankan kepada kerajaan supaya menubuhkan jawatankuasa pada peringkat tertinggi untuk meneliti semula Perlembagaan Persekutuan kita dan memberikan saranan bagi memindanya untuk memasukkan keperluan umat Islam dan mempertahankan hak minoriti. Mereka yang ‘sederhana’ ini tidak dapat menerima saranan ini dan terus menjerit ‘mempertahankan perlembagaan’ yang bermaksud meminggirkan undang-undang Syariah.

Kempen anda adalah dalam arah yang salah. Sebenarnya bukanlah ekstremisme agama yang mengancam perpaduan dan kestabilan negara kita tetapi jurang etnik yang semakin berkembang dalam politik, ekonomi, pendidikan dan habitat manusia.

Prof. Dr. Noraini M. Noor dari Universiti Islam Antarabangsa memberi amaran wujudnya peningkatan polarisasi etnik, menunjukkan situasi bibit prakonflik sedang bercambah. Beliau menulis: “... terdapat peningkatan dalam polarisasi antara Melayu dan Cina dalam bentuk pendidikan,  peluang pekerjaan dan perumahan. Dalam sistem pendidikan semasa, kebanyakan Melayu menghantar anak mereka ke sekolah kerajaan dan/atau sekolah agama, manakala majoriti Cina mendidik anak mereka di sekolah Cina. Melayu cenderung untuk belajar di universiti awam/kerajaan di mana bahasa pengantar adalah Bahasa Malaysia manakala Cina belajar di universiti swasta di mana Bahasa Inggeris digunakan. Kebanyakan Melayu bekerja di sektor kerajaan manakala Cina di sektor swasta. Dan disebabkan sektor swasta lebih kompetitif dan gaji yang lebih baik berbanding sektor kerajaan, perbezaan perolehan antara kumpulan memberikan persepsi ketidakseimbangan kuasa. Dalam banyak keadaan, ahli setiap kumpulan hidup di kawasan perumahan yang sama ada didominasi oleh Melayu atau Cina. Oleh itu, ramai yang tidak tahu  atau tidak berinteraksi dengan ahli kumpulan lain”.

Just Faaland dan dua pengarang bersamanya memberi amaran dalam buku edisi 2003 mereka, Growth and Ethnic Inequality: “Hari ini, sepertimana 1969/70, sedang berlaku ketidaksamaan pendapatan yang besar dan paras kemiskinan yang serentak dengan perpecahan etnik, sosial dan agama. Dalam situasi seperti ini, jika tidak diperbetulkan, ketidakstabilan politik dan sosial dan malah kekacauan yang ganas sepertimana yang berlaku pada 1969 mungkin akan berulang kembali. Keadaan ini telah berlaku di negara lain yang gagal untuk menangani masalah seperti ini, sesetengahnya berdepan dengan pemisahan antara kaum yang mendalam serta permusuhan yang berterusan. Bagi Malaysia, persoalan utama ialah bagaimana untuk mencari penyelesaian pada kos paling minimum dan secepat yang boleh, supaya dapat mewujudkan padang permainan yang sama rata, yang tidak memerlukan dasar afirmatif berasaskan etnik".
 
Marilah kita mewujudkan gerakan untuk menangani masalah yang serius ini dan tidak beralih tumpuan kepada  isu ektremisme agama yang diperbesarkan yang menghantui kita. Kami komited kepada kepelbagaian kaum, agama dan budaya Malaysia berasaskan kepada keadilan untuk semua dan bebas daripada hegemoni Barat.

Kami tidak sesekali menerima elemen rasuah dalam komuniti Melayu Muslim yang menyalahgunakan kedudukan dan kuasa mereka untuk memperkayakan diri mereka sendiri, keluarga dan kroni; tenggelam dalam gaya hidup yang menunjuk-nunjuk dan menggalakkan budaya pergantungan dalam kalangan rakyat.

Kami amat mempercayai bahawa hanya dengan menerapkan nilai dan norma Islam dan melaksanakannya dalam kehidupan harian masyarakat Muslim, menghapuskan budaya pergantungan dan memajukan diri sendiri membolehkan Melayu Muslim mengupayakan diri mereka sendiri dan berdiri sama tinggi dengan komuniti lain. - HARAKAHDAILY 12/1/2015    

Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Share on Myspace