Dipeluk artis K-pop, bukti kerajaan gagal didik remaja

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof menyifatkan insiden remaja perempuan bertudung yang dipeluk serta dicium penyanyi lelaki K-pop membuktikan kegagalan kerajaan dalam membentuk remaja berakhlak.

Beliau yang dihubungi berkata kerosakan remaja hari ini adalah kerana meniru sikap pemimpin yang ada sekarang.

"Saya mewakili Dewan Muslimat PAS kesal dan malu dengan penganjuran progam yang menjatuhkan maruah serta meruntuhkan akhlak remaja.

"Di mana maruah seorang muslimat berhijab bila rela dipeluk dan dicium depan khalayak ramai di pentas, mana tindakan pihak yang mengawal keadaan tersebut," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang turut memberitahu, isu penganjuran program-program hiburan telah banyak kali ditegur sewaktu sesi persidangan parlimen.

"Kita sudah tegur agar kerajaan menghentikan segera program-program berbentuk hiburan kerana jelas ia tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada golongan remaja hari ini.

"Namun teguran itu tidak mendapat respons positif sebaliknya kerajaan menggesa kita melihat dari sudut sumber pendapatan dengan alasan ia dapat menjana pendapatan negara," sambung beliau lagi.

Beliau turut menegaskan jika sebelum ini kita dikejutkan dengan kematian beberapa remaja pada satu konsert hiburan di Bukit Jalil dan kelmarin insiden membabitkan akhlak remaja yang mengaibkan itu terus berulang.

"Saya tidak tahu di mana letaknya kepentingan akhlak remaja di dalam pentadbiran kerajaan yang ada sekarang, dulu kematian remaja akibat pengambilan dadah dan alkohol dan sekarang remaja dipeluk serta dicium oleh artis lelaki.

"Kita menggesa agar semua pihak terutamanya mufti-mufti, Jabatan Agama serta Majlis Fatwa Kebangsaan tampil membuat pendirian tegas dalam insiden yang berlaku sekarang agar ia tidak lagi berulang pada masa akan datang," tambah beliau lagi.

Aksi remaja perempuan pada konsert K-pop di ibu negara itu mendapat kecaman beberapa pihak apabila ia tersiar di laman sosial facebook.

Kumpulan K-pop B1A4 tersebut membuat persembahan bersempena KL Live Center Kuala Lumpur kelmarin. - HARAKAHDAILY 12/1/2015

Share on Myspace