Mesyuarat tergempar, RON95 jatuh RM1.62 seliter?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Apakah Barisan Nasional akhirnya bersetuju untuk menurunkan harga setiap minggu supaya rakyat boleh menikmati harga petrol dan diesel yang lebih rendah?" tanya Rafizi Ramli.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, selepas kenyataan-kenyataannya yang mengkritik sistem penetapan harga minyak yang dilaksanakan sekarang, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hassan Malek telah memanggil satu mesyuarat tergempar pada 9 Januari lalu iaitu sehari selepas beliau mendesak supaya sistem yang berasaskan stok konsainan (consignment stock) dilaksanakan dan harga minyak diturunkan setiap minggu.

"Bersama-sama ini disertakan agenda mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau pada 9 Januari 2015 yang menunjukkan beliau sedia maklum dengan semua isu yang saya bangkitkan," ujar Naib Presiden PKR itu dalam satu kenyataan.

Beliau juga ingin menarik perhatian rakyat kepada harga pasaran sebenar RON95 seperti yang ditetapkan mengikut formula Barisan Nasional sendiri.

Menurutnya, harga RON95 telah jatuh ke paras RM1.62 seliter pada 9 Januari lalu.

Katanya, keadaan itu akan berterusan dan tidak mustahil menjelang akhir Januari 2015 harga RON95 (mengikut formula yang ditetapkan oleh Barisan Nasional sendiri) akan jatuh ke paras RM1.50 seliter.

Malangnya, kata beliau dengan sistem penetapan harga setiap sebulan sekali seperti yang dijalankan sekarang, rakyat Malaysia masih terus membayar RM1.91 seliter walaupun harganya jauh lebih rendah.

Beliau berkata, perbezaan harga di antara 30 hingga 40 sen seliter yang dibayar oleh rakyat Malaysia terus dikutip sebagai cukai tersembunyi oleh Barisan Nasional.

"Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Menteri KPDNKK, Datuk Hassan Malek segera membentangkan kepada rakyat apakah hasil mesyuarat tergemparnya yang dibuat pada 9 Januari 2015," katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Beliau turut mempersoalkan apakah Barisan Nasional akhirnya bersetuju untuk menurunkan harga setiap minggu supaya rakyat boleh menikmati harga petrol dan diesel yang lebih rendah.

"Apakah Barisan Nasional bersetuju untuk mengarahkan agar sistem stok konsainan (consignment stock) dilaksanakan segera oleh syarikat-syarikat minyak supaya semakan harga setiap minggu dapat dijalankan tanpa menjejaskan kelangsungan operasi stesen minyak?" tanya beliau.

Rafizi juga menyeru supaya Menteri KPDNKK membentang perkara-perkara itu dalam mesyuarat Kabinet minggu ini dan satu keputusan diumumkan secepat mungkin bagi mengelakkan rakyat terus menjadi mangsa. - HARAKAHDAILY 12/1/2015

Share on Myspace