Kegilaan remaja terhadap K-Pop salah kerajaan juga

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kegilaan golongan remaja terhadap artis adalah perkara biasa, tulis Shahbudin Husin.

"Daripada Hollywood, Bollywood, artis tempatan sehinggalah K-Pop, mereka ini sentiasa digilai oleh sesetengah masyarakat kita silih berganti, terutamanya golongan remaja," tulis beliau dalam blognya semalam.

Tetapi, menurutnya dalam konteks kegilaan remaja negara kita terhadap artis K-Pop ini, selain perkembangan semasa di seluruh dunia yang menyebabkan mereka begitu digilai, kerajaan sendiri sebenarnya ada saham dalam menabur benih dan menambah-suburkan lagi keterujaan terhadapnya.

Katanya, dalam dua acara besar iaitu Sambutan Hari Belia pada 2012 dan Perayaan Tahun Baru Cina 2013 di Pulau Pinang, kerajaan sendiri nampaknya turut teruja dan 'syok' terhadap artis K-Pop di mana kedua-dua acara itu dihadiri sama oleh Perdana Menteri.

Beliau berpandangan, apabila kerajaan sendiri sudah membuka ruang seluas-luasnya mengenai kekaguman terhadap artis K-Pop, maka janganlah disalahkan jika golongan remaja dan muda-mudi lebih 'syok' dan 'stim' dengannya.

Menurutnya lagi, melalui apa yang ditunjukkan oleh kerajaan itu juga menyebabkan banyak pihak swasta dan penganjur hiburan turut tegila-gila sama membawa artis Korea Selatan itu.

"Memanglah perlakuan yang ditunjukkan oleh remaja-remaja bertudung ini adalah gerak hati peribadi mereka sendiri sebagai golongan muda, tetapi kerajaan sendiri tidak harus lepas tangan daripada mengakui mempunyai saham dengan turut menyemai benih dan menyiram lagi kegilaan terhadap artis K-Pop itu," ulasnya.

Bagi beliau, jika tanpa kerajaan sendiri secara langsung menunjukkan kegilaan terhadap K-Pop, keterujaan remaja kita mungkin hanya 'biasa-biasa saja' dan tidak sampai kepada merelakan diri mereka dipeluk dan dicium sesuka hati.

"Bukankah pepatah selalu mengingatkan, 'apa yang disemai, itulah  juga yang tumbuh?' tulisnya lagi. - HARAKAHDAILY 12/1/2015

Share on Myspace