PAS lancar Tabung Pemulihan Bencana Banjir

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS melancarkan tabung khas bagi membantu memulihkan semula penempatan penduduk di Kelantan yang musnah dilanda banjir teruk pada 26 Disember lalu.

Pengerusi Tabung Pemulihan Bencana Banjir Mohamad Sabu berkata, mangsa banjir perlu terus dibantu oleh semua pihak kerajaan pusat, negeri, NGO dan juga parti politik.

Katanya untuk memulihkan semula kehidupan penduduk yang hilang dan rosak sama sekali rumah mereka memakan masa tiga atau empat bulan.

"Jadi bantuan kewangan dan barangan lain perlu diteruskan. PAS gerakan tabung ini khas untuk mangsa banjir di Kelantan," kata Mohamad Sabu yang juga Timbalan Presiden PAS.

PAS mengalu-alukan para dermawan dan hartawan untuk menyumbang ke Tabung Pemulihan Bencana Banjir di akaun Maybank 564294308112.

Menurut Timbalannya Datuk Mahfuz Omar, pihaknya akan mengadakan kempen di dalam dan luar negara sama ada melalui Lajnah Antarabangsa PAS Pusat atau ahli jawatankuasa mereka bagi mengumpul dana ini secepat mungkin.

"Kita akan gerakan kempen sehingga ke peringkat luar negara untuk dapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak bagi membantu kerajaan Kelantan dalam konteks bencana," katanya dalam sidang media hari ini di Pejabat Agung PAS.

Bagi merasmikan pelancaran tabung ini, PAS akan menganjurkan majlis makan malam pada 9 Febuari ini dan mensasarkan kutipan sehingga RM5 juta pada malam tersebut.

"Tempat kita akan tentukan kemudian, Makan malam nanti kita tidak jual tiket mereka boleh datang derma semampu mereka sehingga kita capai target," katanya.

Katanya, PAS tidak boleh membiarkan penduduk terus tinggal di dalam khemah sepanjang masa, justeru mereka perlukan tempat tinggal tetap seperti yang mereka ada sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memberitahu, setakat ini terdapat sebanyak 2,660 keluarga di Kelantan yang hilang atau rosak sama sekali rumah mereka manakala di negeri lain masih belum dipastikan. - HARAKAHDAILY 12/1/2015

Share on Myspace