Apa agenda di sebalik pelukan artis K-Pop?

| .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan memanggil pihak penganjur KL Live Center di Kuala Lumpur baru-baru ini berhubung adegan tidak sopan sekumpulan gadis bertudung dengan artis lelaki K-pop B1A4.

Mahfuz bimbang penganjuran program tersebut merupakan agenda pihak tertentu untuk menjatuhkan imej Islam.

"Kita gesa agar kerajaan segera memanggil pihak penganjur untuk memberi penjelasan tentang apa yang berlaku sehinggakan ia telah mencemarkan imej Islam di kalangan masyarakat umum.

"Kita juga bimbang jika apa yang berlaku itu merupakan satu perancangan pihak tertentu, siasatan harus dibuat untuk mencari punca sebenar insiden peluk dan cium membabitkan remaja Melayu bertudung dengan artis lelaki K-pop itu," katanya yang ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mempersoal garis panduan berkaitan artis luar negara yang membuat persembahan di negara ini.

"Kita juga ingin tahu apakah kriteria yang ditetapkan terutama berbentuk garis panduan untuk setiap penghibur luar negara yang ingin membuat persembahan di Malaysia.

"Saya pasti sudah tentu ada garis panduan tersebut sebagai peringatan untuk mereka menghormati adat dan budaya negara ini.

"Namun jika garis panduan yang ada itu tidak dipatuhi kumpulan tersebut ia secara jelas telah melanggari peraturan yang ditetapkan dan harus dikenakan tindakan," kata beliau lagi.

Mahfuz turut berkata, jika tidak ada sebarang panduan ditetapkan, ia menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan sehingga memberi kebebasan kepada artis luar untuk berkelakuan sesuka hati mereka.

"Kita kesal dalam keadaan rakyat Pantai Timur berdepan dengan musibah banjir yang teruk dan dalam suasana sedih, kerajaan masih lagi membenarkan hiburan tanpa memikirkan sensitiviti meraka yang sedang bersedih.

"Kerajaan juga turut gagal menjadikan pelajaran subjek agama di sekolah suatu keutamaan sehinggakan remaja sekarang tidak dapat membezakan batas-batas perhubungan dengan bukan mahram," katanya lagi.

Share on Myspace