Harakah sumbang uniform sekolah kepada mangsa banjir

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Bencana banjir yang melanda di Pantai Timur turut mendapat perhatian Harakah apabila media milik PAS itu akan memberi sumbangan berbentuk uniform sekolah dan makanan.

Ketua Pegawai Operasi, Mohd Mokhtar Rozaidi ketika ditemui memberitahu, misi bantuan itu akan diadakan di Manek Urai pada 16 Januari hingga 17 Januari ini.

"Kita akan memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa tempat di bawah Dun Manek Urai berbentuk uniform sekolah dan makanan keperluan.

"Kita anggarkan sebanyak 700 helai uniform sekolah akan diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir mengikut data-data keluarga yang kita perolehi nanti di lokasi yang akan ditetapkan.

"Sementara itu untuk bantuan makanan, penyerahan itu akan dilakukan dari rumah ke rumah untuk memastikan setiap mangsa akan mendapat sumbangan tersebut," katanya.

Beliau yang turut meminta mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan boleh menyerahkannya di MyHarakah Bazaar hadapan KPJ Tawakal Jalan Pahang Barat selewat-lewatnya pagi Khamis.

Misi bantuan banjir itu melibatkan kakitangan dan Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop yang akan bergerak ke sana pada tengah hari 15 Januari.

Selain penyerahan bantuan, kakitangan Harakah akan turut membersihkan Pasti dan masjid. - HARAKAHDAILY 12/1/2015

Share on Myspace