Eric Paulsen tidak wajar persoal khutbah Jumaat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Eric Paulsen tidak wajar mempersoalkan khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana ia adalah sebahagian daripada ibadah umat Islam, demikian tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau turut menyangkal dakwaan Eric Paulsen bahawa khutbah yang disampaikan mempunyai unsur-unsur ekstremisme.

"Khutbah yang dikeluarkan oleh Jakim diselaraskan ke semua masjid tidak ada unsur ekstremisme. Kenapa perlu beliau persoalkan khutbah Jumaat?

"Islam pun tidak pernah persoalkan 'khutbah' di gereja pada hari Ahad. Janganlah beliau bangkitkan walaupun ianya dari Jakim," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Bahkan katanya, apa yang cuba ditimbulkan oleh Eric Paulsen akan mengundangkan suasana yang tidak sihat apatah lagi mempersoalkan khutbah Jumaat orang Islam.

Justeru, Mahfuz melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan itu dan menggesa Paulsen menarik balik dan memohon maaf kerana beliau telah menyentuh soal agama Islam.

"Saya minta beliau menarik balik apa yang dia kemukakan. Jangan mempersoalkan khutbah. Khutbah yang biasa dikeluarkan berkaitan alam sekitar, jerebu, bencana alam ianya langsung tidak ekstremisme," jelasnya.

Paulsen sebelum ini dikecam pelbagai pihak kerana mendakwa Jakim mempromosikan ekstremisme menerusi penyampaian khutbah setiap kali ketika umat Islam di negara ini menunaikan solat Jumaat. - HARAKAHDAILY 12/1/2015

Share on Myspace