Mejar Zaidi: Negara hilang tentera hebat

| .

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) amat kecewa dengan keputusan mahkamah tentera hari ini yang mendapati Mejar Zaidi Ahmad bersalah dalam kes berhubung laporan polis yang dibuatnya tentang dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Hukuman yang dijatuhkan kepadanya iaitu pemecatan daripada perkhidmatan Yang di-Pertuan Agong bermaksud kerjayanya dalam bidang ketenteraan selama 26 tahun dan satu hari berakhir walaupun masa depannya dalam bidang ini sepatutnya masih cerah berdasarkan rekod cemerlangnya selama ini.

"Bersih 2.0 mengenali Mejar Zaidi sebagai seorang yang penuh komitmen dalam peranannya sebagai warga, pembimbing keluarga, dan askar.

"Malah, kerana komitmen peribadinya dari segi profesional dan kemasyarakatanlah beliau membuat laporan polis berhubung kegagalan dakwat kekal semasa pengundian awal," kata Bersih 2.0 dalam kenyataannya hari ini.  

Mejar Zaidi sebelum ini menjelaskan pendirian beliau yang tidak mahu proses pengundian pada hari membuang undi juga dicemari seperti yang berlaku pada hari mengundi awal.

Beliau juga mahu mempertahankan imej tentera daripada dicemari bersama dengan imej Suruhanjaya Pilihan Raya kerana bagi beliau, jika perbuatan berdiam diri ini samalah bersekongkol dalam memperlakukan sandiwara terhadap rakyat.

"Malangnya, betapa pun usaha gigih beliau, tiada tindakan yang diambil ke atas SPR hingga hari ini, dan tidak ada sesiapa daripada SPR yang didakwa atas angkara ini.

"Tiada hasil daripada ratusan laporan polis yang dibuat terhadap SPR, kecualilah daripada laporan Mejar, di mana hukuman dikenakan terhadap pemaklum dan bukannya pesalah," kata Bersih 2.0 lagi.

Menurut Bersih 2.0 juga, Mejar Zaidi memainkan peranannya sebagai warganegara untuk mengetengahkan skandal terbesar antara penyelewengan yang melanda Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau membayar harga yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab ini, manakala Malaysia telah kehilangan seorang askar yang hebat hari ini.

BERSIH 2.0 juga kecewa terhadap mahkamah tentera kerana tidak menunggu keputusan semakan kehakiman tetapi mengambil keputusan untuk meneruskan prosiding, walaupun terdapat aduan daripada pihak pembelaan terhadap keadilan dan integriti prosiding.

"Kami kini menunggu semakan kehakiman, yang akan didengar kebenaran untuk permohonannya pada 5 Februari di Mahkamah Tinggi KL. Moga-moga ada lagi keadilan bagi Mejar Zaidi," katanya jawatankuasa itu lagi. - HARAKAHDAILY 12/1/2015

Share on Myspace