Pemuda PAS ucap tahniah kepada seluruh warga Pasti

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan kemasukan pelajar baru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) untuk sesi baru persekolahan tahun 2015.

Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata peranan dan sumbangan Pasti di dalam membentuk dan mengukuh sahsiah ratusan ribu anak-anak di negara ini wajar diberi pujian dan penghormatan.

"Sejak awal penubuhannya sehingga kini, Pasti sebagai pusat tarbiyah dan pendidikan telah berjumlah 1,900 buah di seluruh negara," ujarnya.

Sempena dengan hari pertama persekolahan 2015, beliau mengucapkan jutaan penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga Pasti di Malaysia.

"Sebagai salah satu agensi di bawah Pemuda PAS Malaysia, sudah pasti kita mengharapkan agar Pasti akan terus cemerlang di dalam lapangan pendidikan awal di Malaysia," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau dalam pada itu juga meminta para ibu bapa mengambil langkah berjimat cermat dalam merancang perbelanjaan persekolahan anak-anak, sebagai langkah awal untuk menghadapi unjuran kenaikan harga barang sebaik sahaja Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April nanti.

Dalam pada itu, Pemuda PAS turut mencadangkan pengurusan Pasti mengadakan 'Kempen RM1 Untuk Mangsa Banjir' di dalam membantu Projek Perumahan Rakyat Budiman (PRB).

"PRB yang diselia khusus oleh Pemuda PAS Malaysia ini bermatlamatkan membina semula petempatan baru yang kekal kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah mereka dalam bencana besar tempoh hari.

"Mudah-mudahan dengan sumbangan daripada pelajar Pasti seramai 90,000 orang dari seluruh negara ini mampu memberikan sinar bahagia buat rakan-rakan di Kelantan dan negeri-negeri lain yang senasib dengan mereka," sambung beliau.

Pemuda PAS Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kepercayaan penuh kepada Pasti selama ini.

"Semoga anak-anak ini mendewasa tidak hanya berjaya dalam bidang akademik, tapi turut sukses di dalam ibadah dan akhlak yang menyenangkan hati kedua ibu bapa mereka," kata beliau lagi. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Share on Myspace