Aksi K-pop: Ibu bapa perlu peka tingkah laku anak

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Isu aksi memalukan gadis bertudung dengan artis lelaki K-pop seperti sedang heboh diperkatakan ketika ini berpunca sikap dayus terutama ibu bapa dan pihak berkuasa.

Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Masduki berkata, ibu bapa tidak sensitif dengan segala tingkah laku anak mereka terutama berkaitan batas-batas dalam Islam dan ada yang menganggap ia adalah perkara biasa.

Menurutnya, ianya adalah satu perkara yang tidak boleh dinafikan dan mereka sanggup diperlakukan sedemikian kerana ada contoh di hadapan mata.

"PAS Perak sangat kesal dengan perlakuan tidak senonoh yang sangat aib dan memalukan itu, artis K-pop itu tidak wajar dipersalahkan kerana mereka memang dididik begitu dan mereka tiada pegangan agama.

"Yang sepatutnya dipersalahkan ialah pihak penganjur, ibu bapa dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab meluluskan konsert yang merosakkan itu," katanya kepada Harakahdaily

Misbahul menjelaskan, budaya seumpama itu hendaklah dibanteras bermula daripada pihak atasan lagi yang berkuasa sepenuhnya untuk melulus atau menyekat program tidak berfaedah itu.

Tambahnya, semua rancangan realiti atau apa sahaja berkaitannya hendaklah dikawal dan diberi garis panduan yang jelas agar tidak menyimpang daripada lunas-lunas agama.

"Jakim dan Jabatan Agama di negeri-negeri hendaklah bertindak sebagaimana mereka bertindak dalam isu menyentuh anjing.

"Para mufti dan ulama hendaklah tegas mendesak kerajaan mengharamkan sahaja konsert yang melibatkan pergaulan dan perlakuan tidak senonoh serta memualkan ini," tegas beliau lagi. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Share on Myspace