Pakatan perlu manfaatkan kepakaran Mejar Zaidi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Perak melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Tentera yang menjatuhkan hukuman buang kerja terhadap Mejar Zaidi Ahmad.

"Pemuda PAS Perak amat terkedu apabila keberanian Mejar Zaidi dalam menyatakan kebenaran, dianggap sebagai satu kesalahan yang serius.

"Hukuman ini membuktikan bahawa penjawat awam tidak diberi kebebasan bersuara dan ini merupakan satu lagi malapetaka kepada negara," ujar timbalan ketuanya, Akmal Kamaruddin dalam satu kenyataan.

Katanya, buang kerja terhadap Mejar Zaidi yang memiliki rekod cemerlang selama 26 tahun dan satu hari pun tiada masalah disiplin merupakan satu tindakan pelik.

Tambahnya, dengan penganugerahan  pingat Kesatria Angkatan Tentera - pingat tertinggi yang dikurniakan kepada pegawai berpangkat Leftenan Kolonel ke bawah juga membuktikan bahawa Mejar Zaidi bukanlah calang-calang pegawai di dalam tentera.

"Beliau telah banyak berbakti kepada TUDM selama 26 tahun dan sewaktu berkhidmat di Bosnia. Rekodnya adalah cemerlang dan bersih.

"Justeru, Pemuda PAS Perak berharap agar beliau dapat bersabar dengan ujian Allah ini, rezeki dan kemudahan hidup adalah milik Allah, maka pohonlah daripada-Nya," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau Pemuda PAS Perak mencadangkan agar Mejar Zaidi ditawarkan pekerjaan di bawah negeri yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat, bersesuaian dengan pengalaman serta kepakarannya. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Share on Myspace