K-Pop: Antara aksi gadis dan tugas menteri

| .

KUALA LUMPUR: Ameerah Wilayah Persekutuan (Ameerah WP) menasihatkan golongan muda khususnya wanita Islam berpada-pada dalam menghadiri sesuatu konsert hiburan.

Pengerusinya, Khairi Syutina Mahmood berkata, Islam tidak melarang umatnya berhibur namun ada ada batas-batasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas aksi tidak sopan sekumpulan gadis bertudung dengan artis lelaki K-pop dalam satu konsert di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Ameerah WP merasa kesal bagaimana gadis-gadis Islam yang bertudung sanggup membiarkan diri mereka disentuh dan dicabuli sesuka hati di hadapan penonton.

"Apakah kerana terlalu asyik bertemu dengan artis pujaan mereka sehingga sanggup menghalalkan apa yang diharamkan terhadap umat Islam? Tindakan segelintir gadis-gadis ini sesungguhnya telah melukakan hati umat Islam, sekaligus menjatuhkan maruah wanita Islam di negara ini," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau juga berkata, Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara, atau Agensi Pusat, (Puspal) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMMM) perlu memainkan peranan mereka dalam program sebegini.

Antara bidang tugas di bawah pengurusan Puspal adalah menyelaras pemantauan bagi memastikan aktiviti persembahan artis luar negara mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Ameerah WP mendesak penjelasan penganjur konsert tersebut serta pertanggungjawaban di atas kejadian malam itu.

"Sepatutnya mereka mempunyai Standard  of Procedures (SOP) dalam mengadakan konsert khususnya di negara umat Islam di Malaysia.  Jika sekalipun mereka diluluskan oleh pihak berkuasa bagi mengadakan konsert, namun mereka masih terikat dengan prosedur yang perlu dipatuhi.

Antaranya etika berpakaian, ucapan, lagu serta aksi-aksi di atas pentas. Dalam isu konsert ini,  mereka tidak patut melakukan aksi yang di luar batasan nilai moral terutama terhadap penonton," katanya lagi.

Tambah beliau lagi, dalam keadaan rakyat masih bersedih dengan musibah banjir yang melanda pantai timur,  masih ada segelintir masyarakat yang memilih untuk bersuka ria dan berseronok dengan kehidupan yang melalaikan. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Share on Myspace