Altantuya: Azilah, Sirul kekal dikenakan hukuman gantung

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan keputusan membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) terhadap tuduhan membunuh model Mongolia, Altantunya Shaariibu dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang membacakan penghakiman itu, berkata mahkamah mengetepikan pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 43, kerana membunuh Altantuya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati mereka bersalah membunuh wanita itu dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan dua anggota polis berkenaan.

Panel rayuan itu dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Hakim Suriyadi berkata selepas meneliti keterangan yang dikemukakan di mahkamah, dua anggota polis itu didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah seperti mengikut pertuduhan. Kami membenarkan rayuan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mensabit dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka," kata Hakim Suriyadi.

Hakim Arifin mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar yang tidak hadir di mahkamah. Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memohon mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap itu.

Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Okt dan 1 pagi, keesokan harinya pada 20 Okt 2006.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013, membenarkan rayuan kedua-dua komando polis itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah kerana membunuh dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 54, yang didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas mahkamah itu memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak.

Berikut kronologi kes pembunuhan Altantuya:

2006:

26 Okt: Cif Inspektor Azilah Hadri dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman ditangkap berhubung kehilangan Altantuya.

6 Nov: Korporal Sirul Azhar Umar dari unit yang sama turut ditangkap.

7 Nov: Penganalisis politik Abdul Razak Baginda ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

15 Nov: Azilah dan Sirul dituduh bersama di mahkamah majistret di Shah Alam atas pembunuhan Altantuya. Mereka didakwa telah membunuh wanita itu di satu lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam 19 Okt dan 1.00 pagi hari berikutnya.

16 Nov: Razak didakwa di mahkamah majistret Kuala Lumpur kerana bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan itu. Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi pada 18 Okt di tingkat 10 Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang.

2007:

19 Jun: Perbicaraan Abdul Razak Baginda dan dua anggota polis berkenaan atas pembunuhan Altantuya bermula.

2008:

31 Okt: Mahkamah Tinggi membebaskan Razak tanpa memerintahnya membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau. Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Azilah dan Sirul Azhar dan memerintahkan mereka membela diri.

14 Nov: Timbalan pendakwa raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengesahkan pendakwaan tidak akan merayu terhadap pembebasan Abdul Razak.

2009:

15 Jan: Azilah dan Sirul Azhar memulakan pembelaan diri. Azilah memberi kenyataan bersumpah dari kandang saksi.

4 Feb: Sirul Azhar memberi kenyataan bela diri dari kandang tertuduh.

9 April: Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan dihukum gantung sampai mati.

10 April: Azilah memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.

13 April: Sirul Azhar memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.

2013:

24 Jun: Mahkamah Rayuan mendengar rayuan kedua-dua mereka.

23 Ogos: Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan oleh Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka dari tuduhan berkenaan. Pendakwaan memfail rayuan pada hari yang sama.

2014:

23 Jun: Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan pihak pendakwaan. Perkara itu didengar selama tiga hari.

25 Jun: Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan mereka terhadap rayuan pendakwaan. - Bernama

Share on Myspace