Sungguh aneh kabinet tidak tahu isu Paul Phua

| .

KUALA LUMPUR: PAS mempersoal kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mengetahui langsung tentang surat yang ditulis Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam kes warganegara Malaysia Paul Phua.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, adalah suatu yang aneh apabila isu‎ ini menjadi perhatian umum sehingga ke peringkat antarabangsa tetapi tidak diketahui oleh kabinet.

"Sungguh pelik dan malang bila kabinet tidak mengetahui serta tidak bincang hal membabitkan isu Paul Phua‎ walaupun maklumat itu tersebar termasuk Putrajaya mengarahkan surat tersebut ditarik balik.

"‎Timbul persoalan besar adakah tindakan berani Menteri Dalam Negeri itu masih berada di dalam ruang lingkup kuasanya sehingga mengatasi Wisma Putra, Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Peguam Negara," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Hadir sama ialah Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Ahmad Zahid tampil memberi penjelasan tentang surat yang ditulis kepada FBI sebelum ini.

"Beliau belum lagi menjelaskan tentang surat yang dihantar kepada FBI, kita ini tahu apa tujuan dan kepentingan berhubung surat tersebut.

"Teka-teki ini sungguh membingungkan masyarakat umum yang risau akan integriti dan ketelusan pemimpin kerajaan kerna perbuatan tersebut boleh diibaratkan seperti bersekongkol dalam melindungi penjenayah besar yang berkepentingan," katanya lagi.

‎Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menuntut Ahmad Zahid menyatakan perkhidmatan keselamatan yang diberikan Paul Phua kepada kerajaan seperti yang dinyatakan  dalam surat berkenaan.

"Rakyat berhak untuk mendapatkan penjelasan tersebut kerana ia melibatkan isu keselamatan negara‎.

"Sesungguhnya suatu malapetaka dan musibah yang besar sekiranya benar pihak kerajaan sanggup berurusan dengan penjenayah kongsi gelap dalam hal membabitkan keselamatan negara," katanya.

Tambah beliau, jika Ahmad Zahid mempunyai keberanian mengutus surat kepada FBI, keberanian yang sama perlu ditunjukkan dalam menjelaskan tentang isu ini agar rakyat dapat menilainya. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Share on Myspace