Unit Amal: Lahirnya ikon masyarakat

| .

DALAM tempoh bencana banjir di Kuala Kangsar yang sudah lebih dua minggu, saya hanya berkesempatan bertemu dengan Pengarah Jabatan Amal Negeri Perak, Arif Sha’arani yang turun membantu kerja-kerja secara bergotong-royong di Lembah Sayong pada 3 Januari lalu.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini, kesibukan seluruh Anggota Amal yang digelar 'Tentera Merah' dalam kerja-kerja membantu mangsa-mangsa banjir dapat dilihat dan dirasai.

Dengan slogan ‘beramal kerana Allah’ yang cukup kuat tersemat di hati anggota Amal, mereka tidak pernah lelah berbakti kepada mangsa banjir pada setiap masa.

Oleh sebab itulah anggota Amal mempunyai peminat daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas.

Jabatan Amal atau lebih dikenali sebagai ‘Unit Amal’ diperkenalkan oleh Allahyarham Ustaz Abu Bakar Chik yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1991.

Ketika itu saya bekerja sepenuh masa sebagai Pegawai Unit Kerja Jamaah (UKJ) Pemuda PAS di bawah Allahyarham.
 
Banyak program yang dibentuk di bawah Unit Amal antaranya Jambori Amal yang mengatur program bagi persediaan anggotanya yang memakai uniform dengan pelbagai aspek kerja-kerja kebajikan dan kecemasan bagi menjadi pasukan bantuan termasuk menjaga keselamatan.
 
Kini Unit Amal tampil dengan nafas baru setelah Uniform atau baju rasminya ditukar warnanya dan diberikan imej baru di bawah Ketua Pemuda PAS ketika itu, Salahuddin Ayub manakala Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) yang diketuai Dr Muhaimin Sulam diberi tanggungjawab mencipta uniform Unit Amal.

Unit Amal yang sentiasa bersedia berkhidmat ini adalah aset penting dalam PAS amnya dan Pemuda PAS khasnya.

Saya sungguh bangga dan amat menghormati pengorbanan mereka selama ini, sehinggakan saya tidak bekesempatan bertemu dengan Arif lantaran kesibukan beliau membantu mangsa banjir.

Saya lihat banyak keperluan persedian yang diperlukan oleh Unit Amal sebagai ‘orang penting’ bagi PAS sama ada keperluan jentera mahupun keperluan kemahiran kerana mereka merupakan harta yang tidak ternilai dan perlu digilap dan diperkasa.

Sebagai contoh, Jabatan Amal Negeri Perak sebelum ini sudah terkehadapan dalam mengurus banjir di Kuala Dipang, Kerian, Lenggong, Manjoi dan Tanjung Malim.

Pada kali ini bantuan lebih berskala besar dan agak panjang tempohnya yang memerlukan kekuatan tenaga serta kerahan anggota Unit Amal yang besar termasuk membantu Negeri-negeri lain yang terlibat banjir terutamanya di Kelantan.

Dalam keadaan banjir besar ini, sudah tentu kita memerlukan jentera yang boleh membantu Unit Amal untuk misi bantuan seperti bot dan kenderaan pacuan empat roda seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jabatan Amal juga turut memberi fokus kepada kerja-kerja pembersihan pasca banjir dan peralatan seperti ‘water jet’ sangat diperlukan bagi membersihkan rumah-rumah yang terlibat banjir.

Selain itu, ‘water pam’ juga diperlukan bagi tujuan menyedut air banjir yang masih bertakung.

Bagi saya, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) juga perlu memiliki ‘water jet’ dan ‘water pam’ sebagai persediaan khasnya bagi kampung-kampung yang mempunyai risiko berlaku banjir.

Sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Perak memberikan peruntukan khusus untuk keperluan ini.

Saya berharap Jabatan Amal menyediakan modul lengkap bagi persediaan Unit Amal berdepan dengan bencana banjir agar kekuatan kerja mereka dapat dimaksimumkan bagi membantu mangsa banjir.

Modul ini juga sebagai persediaan kepada PAS jika menjadi Kerajaan Negeri nanti.

Latihan dan ketrampilan imej Unit Amal perlu ditonjolkan di setiap peringkat.

Sebagai contoh, setiap kepimpinan perlu memakai baju Unit Amal ketika melakukan kerja-kerja gotong-royong dan turun padang membantu membersihkan rumah-rumah mangsa bersama Unit Amal.

PAS perlu menjadikan Jabatan Amal sebagai institusi rakyat dan menjadikan mereka sebagai satu pasukan penyelamat yang disegani.

Saya juga mengimpikan Jabatan Amal menjadi sebutan pada masa akan datang dengan kerja-kerja kebajikan mereka dan rakyat akan sentiasa mengingati kerja buat mereka membantu mangsa banjir khasnya.

Ayuh, Unit Amal kita lebarkan sayap kita untuk terus membantu rakyat pada setiap detik dan keadaan tanpa mengira apa jua bencana yang melanda.

Gunakan segala kepakaran dan kemahiran untuk terus membantu mereka yang memerlukan dan saya mendoakan kalian terus diberikan kekuatan dan kesihatan hendaknya! - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Perak.

Share on Myspace