Jangan guna kebebasan akhbar untuk hina agama

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS membantah terhadap insiden pembunuhan bersenjata yang berlaku di pejabat majalah Charlie Hebdo di Paris kerana ia tidak selari dengan apa yang dituntut oleh agama Islam.

Dalam masa yang sama PAS juga menyeru mana-mana akhbar termasuk Charlie Hebdo agar tidak menggunakan kebebasan hak bersuara untuk menghina mana-mana agama termasuklah Islam.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi turut melahirkan rasa simpati terhadap mereka yang terbunuh dan menjadi korban serangan bersenjata kononnya atas nama Islam.

Katanya, PAS tegas dari segi menyarankan hak kebebasan media dan suara, etika kewartawanan di peringkat dunia mahupun di Malaysia namun ada batasnya dari segi agama dan kaum.

"Yang penting PAS juga melihat apa yang berlaku di Paris membuka mata semua pihak tentang persoalan hak dan kebebasan media, sejauhmana ianya dilaksanakan di mana-mana negara," katanya.

Charlie Hebdo antara majalah yang memaparkan karikatur menghina agama Islam dan banyak agama lain termasuk juga Kristian.

Jelasnya, atas nama kebebasan media mereka menggunakannya tanpa menghiraukan sensitiviti orang Islam dengan memaparkan gambar lukisan lucah yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW.

Bagi PAS katanya, penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama Islam serta agama lain merupakan di luar batasan hak kebebasan media.

"Mana-mana media perlu menjaga sesitiviti penganut agama-agama lain juga. Penghinaan inilah yang berlaku bertahun-tahunn di majalah Charlie Hebdo yang banyak memaparan karikatur yang menghina. Kita terus lahirkan bantahan terhadap tindakan sidang majalah itu yang boleh menimbulkan provokasi penganut agama Islam," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Syed Azman turut difahamkan keluaran terbaru majalah itu juga akan memaparkan gambar karikatur yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad di muka hadapan.

Prseiden Israel ikuti himpunan bantah kebebasan media

Apabila bercakap soal kebebasan akhbar Syed Azman berkata ianya perlu perlu dilihat secara menyeluruh bukan hanya pandai menyatakan bantahan dengan berhimpun di Paris hakikatnya ianya kontra dari apa yang dilakukan.

Melihat pemimpin negara yang hadir di perhimpunan itu, tegas Syed Azman mereka juga tidak pernah menghormati kebebasan di negara mereka sendiri.

"Seperti Presiden Israel ke perhimpunan kerana mahu menegakkan kebebasan dan hak tetapi menjadi juara menyekat hak serta membunuh rakyat Palestin," katanya.

Begitu juga dengan Presiden Mesir, tegasnya yang bersikap hipokrit apabila di negara sendiri tidak mengamalkan kebebasan dengan memenjarakan pemberita yang mengkritik pentadbiran rasuh mereka.

"Inilah sikap 'double standard' mereka, seolah-olah pemberita media antarabangsa meletakkan orang Islam di kalangan orang salah seperti melabelkan umat Islam sebagai pengganas Islam. Pemimpin dunia dalam menghadapi masalah Charlie Hebdo perlu kepada penyelesaian terbaik," tegas beliau.

Oleh yang demikian, PAS menyeru pemimpin dunia agar melihat perspektif secara dalam dan realiti sebenarnya dalam konteks kebebasan media.

PAS juga menyeru agar dialog pemimpin-pemimpin agama di dunia supaya dapat mewujudkan toleransi antara satu dengan yang lain.

Dalam insiden pagi Rabu lalu, kartunis terbaik di Perancis antara 12 individu yang terbunuh apabila dua individu bersenjata menyerbu masuk ke dalam pejabat Charlie Hebdo.

Ketua Pengarang Stephane Charbonnier yang juga dikenali sebagai Charb dan kartunis yang dikenali sebagai Cabu, Tignous dan Wolinski turut terbunuh dalam serangan tersebut.

Pada November 2011, pejabat Charlie Hebdo pernah dibakar kerana menerbitkan kartun kononnya Nabi Muhammad SAW di muka depan akhbar mereka. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Share on Myspace