Mejar Zaidi: PAS, Pakatan cari jalan penyelesaian terbaik

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS akan membawa isu Mejar Zaidi Ahmad‎ ke peringkat Majlis Presiden Pakatan Rakyat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk beliau setelah diputuskan bersalah oleh Mahkamah Tentera.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata perkara itu akan dibincangkan agar Zaidi boleh ditempatkan di mana-mana jabatan di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.‎

Katanya lagi, ‎PAS juga menyokong Zaidi dan menggesa supaya pihak berkuasa‎ tentera menyemak kembali keputusan mahkamah yang memecat beliau daripada perkhidmatan atas alasan telah memberi kenyataan akhbar tanpa kebenaran.

"Kesalahan Zaidi hanya kerana beliau menyatakan kebenaran bahawa dakwat yang digunakan dalam proses pilihan raya yang sepatutnya kekal itu tidak kekal.

"Keberanian beliau itu sepatutnya dipuji kerana beliau berani tampil ke hadapan bagi menegakkan kebenaran sedangkan yang bersalah adalah pembekal dakwat yang tidak kekal itu," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Katanya lagi, Mahkamah Tentera‎ sewajarnya menimbangkan bahawa apa yang dikatakan kesalahan iaitu memberi kenyataan akhbar tanpa kebenaran itu adalah bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan.

"Apatah lagi, Zaidi sendiri telah menimbulkan isu 'bias' anggota Mahkamah Tentera yang telah menghukum beliau melalui komennya di laman sosial facebook.

"Ini menunjukkan prinsip kebebasan dan integriti anggota Mahkamah Tentera itu sendiri dipertikai, sepatutnya orang-orang yang menyatakan kebenaran ini disokong dan galakan diberikan kepada mereka," sambung beliau lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut melihat keputusan Mahkamah Tinggi itu sendiri tidak selari dengan usaha Perdana Menteri yang mencanangkan transformasi dalam kerajaan.

"Ini juga satu lagi bukti kegagalan usaha tranformasi Perdana Menteri kepada pegawai-pegawai kerajaan.

"Perdana Menteri harus menyemak kembali prosedur dan protokol yang terkandung berkaitan isu ini supaya ianya selari dengan prinsip kebebasan bersuara dan keadilan sejagat," tambah beliau.

Beliau yang berpendapat hukuman yang dikenakan itu adalah berat sedangkan Zaidi merupakan pegawai tentera yang cemerlang di dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"PAS berharap semoga Mejar Zaidi dan ahli keluarganya bersabar dengan ujian ini dan yakinlah dengan janji Allah bahawa kebenaran akan tetap muncul dan kesabaran beliau sekeluarga akan tetap diberi ganjaran yang besar di sisi Allah," kata beliau lagi.‎ - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Share on Myspace