1MDB: Ke mana RM4b wang amanah pencen?

| .

KUALA LUMPUR: Keengganan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berterus-terang dan melaporkan secara telus kepada Parlimen mengenai aktivitinya menyebabkan ahli-ahli Parlimen tidak ada pilihan lain kecuali membuat siasatan sendiri dan menanyakan soalan-soalan berkaitan di Parlimen dan media.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, hutang yang diambil oleh 1MDB sebahagiannya dijamin oleh kerajaan secara langsung atau tidak langsung menyebabkan Keberhutangan 1MDB mencecah RM42 bilion dan akan mempunyai kesan besar kepada kedudukan kewangan negara dan industri kewangan/perbankan negara ini.

"Saya sedia maklum dengan reaksi Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB yang baru, Arulkanda Kandasamy yang menuduh kononnya pengkritik 1MDB hanya membuat spekulasi tanpa mengetahui fakta yang sebenarnya. Beliau juga dilaporkan berkata bahawa beliau telah benar-benar mengkaji pelaburan 1MDB dan yakin ia akan mendatangkan keuntungan.

"Kenyataan Arulkanda itu adalah bongkak dan mengenepikan kebimbangan rakyat (termasuk dari kalangan pimpinan dan penyokong Barisan Nasional) yang munasabah mengenai 1MDB," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Rafizi juga mendesak Arulkanda mendedahkan semua maklumat dan fakta mengenai pinjaman RM4 bilion yang diambil oleh anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dalam tahun 2011.

"Pinjaman RM4 bilion dari KWAP yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan pada awalnya bertujuan untuk membeli syarikat perlombongan dari Mongolia bernama Gobi Coal & Energy untuk melabur di Mongolia seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Business Times. Pelaburan itu dilaporkan tidak berlaku dan sehingga sekarang tidak diketahui bagi tujuan apakah RM4 bilion itu dibelanjakan," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Tambah beliau juga, ini adalah ujian awal kepada kepimpinan Arulkanda di 1MDB untuk menilai sama ada beliau akan berlaku telus dalam menangani soalan-soalan penting rakyat terhadap 1MDB.

Jika Arulkanda bersikap telus kata Rafizi, beliau boleh menjelaskan bagaimana pinjaman RM4 bilion itu telah dibelanjakan setakat ini dan hasilnya kepada negara memandangkan itu adalah wang rakyat.

"Jika tidak ada penjelasan yang memuaskan dari beliau dan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, saya akan mengatur supaya wakil-wakil pesara yang pencen mereka dicarum di dalam Kumpulan Wang Amanah Pekerja mengambil tindakan mahkamah terhadap 1MDB, KWAP dan Menteri Kewangan kerana dengan sewenang-wenangnya menggunakan wang pencen rakyat bagi pelaburan yang diragui," katanya. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Share on Myspace