PAS usaha sumbangan luar isi Tabung Pemulihan Bencana

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa PAS Pusat sedang dalam usaha untuk mendapatkan sumbangan di luar negara  bagi mengisi Tabung Pemulihan Bencana Banjir PAS Pusat.

Pengerusinya, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, pihaknya telah mula menjalankan kempen memungut sumbangan di beberapa buah negara di Eropah dan Timur Tengah untuk sama-sama membantu membangunkan penempatan mangsa banjir di Kelantan.

"Kempen ini sedang berjalan dan beberapa NGO telah mula turun ke Kelantan untuk memberi sumbangan sama ada tenaga ataupun barangan," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, mereka yang kini berada di lapangan termasuklah NGO daripada Pakistan, Indonesia, United Kingdom dan ramai lagi bagi membantu memulihkan penempatan di Kelantan.

"Walaupun bilangan mereka kecil tetapi ianya cukup bermakna dengan tenaga yang disumbangkan serta kewangan bagi mengembalikan semula infrastruktur khsusunya di kawasan yang terjejas teruk," katanya.

Beliau yakin dan percaya masyarakat luar negara cukup prihatin dengan musibah yang dihadapi rakyat Kelantan apatah lagi kehilangan tempat tinggal ekoran banjir pada 2 Disember lalu.

"Kita optimis akan mendapatkan sumbangan sebanyak mungkin di luar negara kerana kita mempunyai hubungan yang baik dengan NGO di sana," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Tabung Pemulihan Bencana Banjir Mohamad Sabu akan menjalankan kempen bagi memungut sumbangan untuk membina semula penempatan penduduk di Kelantan yang hampir keseluruhan rumah mereka musnah akibat banjir.

Sehubungan itu, PAS akan menganjurkan majlis makan malam pada 9 Febuari ini dan mensasarkan kutipan sehingga RM5 juta pada malam tersebut.

PAS mengalu-alukan para dermawan dan hartawan untuk menyumbang ke Tabung Pemulihan Bencana Banjir di akaun Maybank 564294308112.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memberitahu, setakat ini terdapat sebanyak 2,660 keluarga di Kelantan yang hilang atau rosak sama sekali rumah mereka manakala di negeri lain masih belum dipastikan. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Share on Myspace