Mejar Zaidi: Kesalahan kecil, hukuman berat

| .

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menyifatkan hukuman yang dijatuhkan kepada Mejar Zaidi Ahmad begitu berat tanpa mengambil kira rekod bersih perkhidmatan beliau selama ini.

Setiausaha Agung Ikram, Nahar Md Nor berkata,  hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan Zaidi.

"Berkenaan isu dakwat yang dicalit di jari pemilih yang tidak kekal, ianya adalah satu isu yang telah dimaklumi ramai malah pihak SPR sendiri mengakui hakikat bahawa dakwat yang digunakan tidak kekal selama tujuh hari seperti didakwa," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, hanya kesalahan kecil sahaja yang dilakukan Zaidi iaitu membuat laporan polis berkenaan dakwat yang tidak kekal dan bercakap perkara yang benar kepada media.

"Lantas persoalannya, di manakah risiko, kerugian atau ‘damages’ yang telah dialami oleh ATM akibat pelanggaran terhadap prosedur ATM?" soalnya.

Selain itu, Ikram juga ujarnya mendapati terdapat kecacatan dalam perjalanan perbicaraan Mejar Zaidi, apabila wujud bukti pihak ketua panel penghakiman telah memberikan komen dalam Facebook pada bulan November 2014, yang bersifat prejudis terhadap kes pembelaan Mejar Zaidi.

Sehubungan itu, Ikram memohon agar pihak berkuasa tentera menyemak kembali hukuman yang dijatuhkan oleh sidang panel penghakiman.

Keputusan perbicaraan Mejar Zaidi Ahmad atas dua kesalahan yang dituduh di bawah Seksyen 50 Akta Angkatan Tentera 1972 telah pun dibuat.

Beliau didapati bersalah kerana melanggar prosedur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersabit tuduhan-tuduhan membuat kenyataan kepada media tanpa kebenaran Menteri Pertahanan berkenaan isu dakwat tidak kekal yang dibekalkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam PRU-13 pada tahun 2013.

Zaidi didapati telah berkongsi maklumat sulit berkenaan perpindahan tempat kerja beliau dengan pihak media tanpa kebenaran Majlis Angkatan Tentera.

Panel penghakiman dalam sidang Mahkamah Tentera pada 12 Januari lalu menjatuhkan hukum buang kerja kerja ke atas Mejar Zaidi, sekaligus menafikan faedah pencen yang sepatutnya diterima. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

Share on Myspace