Muslim Care‎ bekerjasama dalam Misi Bantuan Harakah

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Muslim Care‎ Malaysia hari ini turut memberi kerjasama dalam Misi Bantuan Banjir Harakah apabila menyumbangkan seratus kampit beras dan juga barang keperluan makanan.

Exco Muslim Care, Dr Riduan Mohamad Nor berkata sumbangan ini sebagai tanda kerjasama antara Harakah dan Muslim Care bagi menjayakan lagi misi bantuan banjir yang dikendalikan oleh media milik PAS itu.

"Kita mengucapkan‎ tahniah kepada Harakah dalam misi bantuan persekolahan dan makanan kepada mangsa-mangsa banjir.

"Ini merupakan satu usaha terbaik Harakah dalam menunjukan keprihatinan kita terhadap masyarakat di luar.

"Muslim Care menyambut baik kerjasama ini dan berharap misi ini akan berjaya sepertimana yang dirancang," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Mohd Mokhtar Rozaidi mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan Muslim Care dalam misi ini.

"Terima kasih kepada Muslim Care‎ atas sumbangan yang diberikan dan ini secara dapat menampung barang keperluan yang kita sasarkan melebihi seribu bungkusan.

"Kita juga mengharapkan dalam tempoh dua hari ini, ada lagi sumbangan diberikan oleh pihak luar, lagi banyak sumbangan maka ke semua mangsa banjir akan mendapat bantuan yang kita sediakan," katanya.

Mokhtar turut meminta mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan boleh menyerahkannya di MyHarakah Bazaar di hadapan KPJ Tawakal Jalan Pahang selewat-lewatnya pagi Khamis ini.

Dalam pada itu, Harakah turut merayu mana-mana pihak yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda untuk tampil membantu bagi melancarkan perjalanan misi bantuan banjir itu.

‎Misi bantuan banjir yang tertumpu di Dun Manek Urai pada 16 dan 17 Januari ini meliputi bantuan uniform persekolahan dan barangan makanan.

Misi ini melibatkan kakitangan Harakah, Pengarah Urusan, Dr Rosli Yaakop dan juga bekas pelakon Abby Abadi yang akan bergerak pada tengah hari 15 Januari. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

 

Share on Myspace