Apa motif pembunuhan Altantuya?

| .

KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini perlu mengetahui apa motif sebenar pembunuhan ke atas model Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dilakukan oleh dua bekas anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK), demikian menurut Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar.

Tegasnya, motif pembunuhan boleh diketahui dengan memanggil saksi-saksi yang perlu untuk penjelasan segera kes tersebut.

"Apa tujuan mereka bunuh? Itu persoalan," soal Mahfuz kepada Harakahdaily.

Katanya, pendedahan sebelum ini juga ada mengatakan bekas anggota polis yang terlibat dalam kes ini diberi arahan untuk menembak penjenayah yang sukar dibuktikan dalam perbicaraan.

"Saya tidak fikir motif peribadi mereka membunuh Altantuya, apa tujuan utama? Tidak ada kepentingan peribadi," jelasnya.

Bagi Mahfuz keputusan pernghakiman semalam amat mengejutkan kerana sebelum ini Mahkamah Rayuan telah membebaskan mereka.

"Sedangkan perbicaraan kes Altantuya masih lagi dipersoalkan kerana saksi-saksi tertentu tidak dipenggil untuk diberi penjelasan. Mereka kata buat kerja atas arahan. Kita tidak tahu siapa yang arah," tambah Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Semalam Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh model sambilan itu.

Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan dua anggota polis berkenaan.

Panel rayuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria. Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Saraweak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi, Tan Sri Abdull Hamid dan Tan Sri Ahmad Maarop.
Korum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan kedua-duanya dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman mati setelah mereka didapati bersalah pada 9 April 2009.

Mahkamah tertinggi negara menyampaikan keputusan tersebut tanpa kehadiran Sirul Azhar, 44, walaupun kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu didakwa bersama-sama membunuh Altantuya yang merupakan seorang penterjemah Mongolia. - HARAKAHDAILY 14/1/2015

Share on Myspace