Nilai ringgit jatuh, taraf hidup rakyat merosot lagi

V SIVAKUMAR | .

ADAKAH kerajaan masih mahu menafikan bahawa negara kita sudah dilanda krisis ekonomi? Penafian yang tidak berasas seperti ini adalah cukup bahawa dan boleh membawa kemudaratan kepada seluruh rakyat Malaysia. Rakyat akan menjadi keliru dan tidak memahami keadaan ekonomi yang sebenar.

Kerajaan harus menjelaskan situasi yang sebenar walaupun semua ini berpunca daripada pengurusan ekonomi yang lemah oleh kerajaan. Rakyat berhak mengetahui status ekonomi yang sebenar. Ini adalah penting supaya mereka boleh bersedia menghadapi keadaan yang tidak menentu pada masa hadapan. Memberi gambaran ekonomi yang tidak betul hanya akan memperbodohkan rakyat dan menyusahkan mereka menghadapi masa-masa genting.

Nilai mata wang Ringgit semakin merosot. Perkara ini tidak boleh dinafikan oleh kerajaan. Tetapi, adalah tidak wajar jika ada pihak-pihak tertentu menyifatkannya sebagai sesuatu yang baik untuk ekonomi negara. Kita semua tahu bahawa, beberapa bulan yang lalu nilai mata wang Malayisa adalah RM3 bagi USD1.

Kini, nilainya semakin hari semakin menurun sehingga RM3.60 bagi USD1. Kenaikan lebih kurang RM0.60 atau 16% ini akan membawa banyak implikasi negatif kepada ekonomi negara. Keadaan ini adalah paling teruk sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Antara punca-punca kepada kejatuhan yang mendadak ini adalah kerana kemasukan pelaburan asing yang semakin merosot, peningkatan hutang dari luar negara, kemerosotan harga minyak di peringkat global, kemerosotan harga komoditi mentah seperti getah dan kelapa sawit dan isu-isu atau krisis dalam negara yang kerap memberi imej negatif.

Saya kurang setuju jika kerajaan berkeyakinan bahawa penurunan mata wang Ringgit Malaysia akan menawarkan suasana pelaburan yang kondusif dan memulihkan ekonomi negara.

Pada pandangan saya, sektor pelancongan mungkin ada sedikit sebanyak kesan positif tetapi sektor-sektor lain akan mengalami keruntuhan akibat kejatuhan mata wang negara. Negara kita tidak hanya bergantung kepada sumber pendapatan daripada sektor pelancongan.

Oleh yang demikian, kerajaan tidak seharusnya memberi itu sebagai satu alasan yang konkrit. Kejatuhan Ringgit Malaysia hanya menguntungkan pelancong-pelancong yang datang ke negara kita kerana harga barang-barang menjadi semakin murah berbanding mata wang negara mereka. Tetapi, penurunan nilai mata wang negara akan merugikan pelancong-pelancong dari negara kita yang melawat negara-negara lain.

Kita tidak boleh nafikan ratusan ribu rakyat negara kita juga melawat negara-negara asing pada tiap-tiap tahun. Mereka terpaksa berbelanja lebih sekarang kerana nilai mata wang negara asing lebih tinggi berbanding dengan Ringgit Malaysia. Bukankah ini merugikan rakyat negara kita?

Selain daripada itu, kita juga harus sedar bahawa kejatuhan nilai Ringgit Malaysia akan menyebabkan import menjadi lebih mahal. Harga barang-barang yang dibeli dari negara-negara lain akan meningkat kerana mata wang kita mengalami kemerosotan nilai.

Oleh yang demikian, barang-barang yang dibeli dari negara lain terpaksa dijual dengan harga yang lebih tinggi di negara kita. Bukankah ini juga akan merugikan rakyat tempatan? Tambahan pula, kenaikan harga barang-barang yang diimport ini akan memberi kesan inflasi yang ketara.

Dalam keadaan ekonomi negara yang semakin merudum, penurunan nilai mata wang negara agak merisaukan seluruh rakyat jelata. Saya rasa adalah sukar untuk kerajaan memulihkan ekonomi negara dalam jangka masa terdekat. Pada pandangan saya kita sudah tercicir daripada landasan mengejar status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Pada 17 Disember 2014, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Sanuri membuat kenyataan meminta orang ramai tidak panik berikutan kejatuhan nilai ringgit yang boleh menyebabkan krisis ekonomi dalam jangka masa panjang, memandangkan Putrajaya sedang bersedia dengan langkah menanganinya yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri.

Kerajaan Malaysia seolah-olah menyembunyikan sesuatu berhubung kejatuhan nilai ringgit, padahal perkara ini mendapat liputan meluas dalam kalangan media negara-negara jiran seperti Singapura dan Brunei.

Tetapi, para penganalisis pula menjangka Malaysia berkemungkinan menjadi negara Asia paling teruk terjejas ekoran kejatuhan berterusan harga minyak dunia. Industri minyak menyumbangkan sebanyak satu pertiga daripada hasil negara. Nilai mata wang negara akan terus mengalami kejatuhan sehingga harga minyak kembali stabil.

Apakah pengumuman yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri mengenai hal penurunan nilai mata wang Ringgit? Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Bank Negara Malaysia dalam menangani krisis ini? Rakyat masih menunggu untuk melihat sejauh manakah kerajaan yang ada hari ini berkaliber menangani situasi yang melarat ini. - HARAKAHDAILY 14/1/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Batu Gajah.

Share on Myspace