Nizar dilepas tanpa dibebas dakwaan fitnah Najib

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh semalam memutuskan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah dilepas tanpa dibebaskan atas dakwaan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa tahun lalu.

Keputusan itu dibuat apabila pertuduhan terhadap Adun Changkat Jering itu dilakukan tidak mengikut peruntukan Seksyen 131 Kanun Prosedur Jenayah, maka Hakim Madihah Harullah melepaskannya tanpa membebaskan.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan pendakwa raya serta peguambela dan turut mengarahkan supaya wang ikat jamin sebanyak RM5,000 dikembalikan kepada Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar telah diwakili barisan peguam yang diketuai oleh Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin, manakala pendakwaan diketuai oleh Ketua Unit Pendakwaan Negeri Perak, Masri Mohd Daud.

Salah seorang peguam Nizar, Mohd Zamri Ibrahim ketika ditemui berkata, perkara yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan adalah berkaitan isu pengaduan di mana berdasarkan seksyen 131 kanun tersebut, aduan mestilah dibuat oleh 'orang yang terkilan' atau pendakwa raya.

Katanya, di dalam hujahnya, pihak pembelaan telah menyatakan bahawa adalah jelas di dalam kes ini, Najib telah tidak membuat pengaduan.

"Persoalan selanjutnya sama ada aduan telah dibuat oleh pendakwa raya, pihak pembelaan menghujahkan di antaranya bahawa berdasarkan dokumen, terdapatnya kekeliruan siapakah yang membuat pengaduan.

"Ini kerana di borang aduan, ia ditandatangani oleh ASP Zulkarnain Samsudin, bukannya timbalan pendakwa raya.

"Selain itu di lampiran yang dicatatkan sebagai ‘Aduan di bawah Seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah’ terdapatnya catatan bahawa Dato’ Mohamad Hanafiah Bin Zakaria yang membuat aduan.

"Namun begitu lampiran tersebut telah ditandatangani oleh Masri Bin Daud, maka terdapatnya kecacatan di borang aduan berhubung identiti pengadu di dalam kes ini," katanya.

Oleh yang demikian, Exco Pemuda PAS Perak itu menyatakan, hakim berpendapat pada peringkat tersebut tertuduh (Nizar) wajar dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan.

Mohammad Nizar, 58, telah dituduh memfitnah Najib dalam ceramahnya di Taman Desa Pakatan, Station 18 Ipoh pada 23 April 2012.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu didakwa mengeluarkan kenyataan “Saya juga dikhabarkan Najib baru-baru ini panggil semua pemimpin angkatan tentera, semua pegawai kanan angkatan tentera daripada darat ke, daripada laut ke, dan daripada udaranya.

“Najib bertanyakan pada mereka seandainya Barisan Nasional (BN) tumbang maka buatlah sesuatu.

"Saudara-saudara apa kata ketua-ketua angkatan tentera, mereka terbuka mereka belajar berkenaan apa yang berlaku di Timur Tengah maka mereka beritahu Najib, kami akan menyebelahi rakyat. Itu jawapan tentera".

Beliau turut mengeluarkan kenyataan “Maknanya kalau rakyat menolak Barisan Nasional memilih Pakatan Rakyat ke Putrajaya maka tentera-tentera akan bersama dengan rakyat menyebabkan Najib menjadi pucat lesu sepucat-pucatnya. Najib ingat tentera ini boleh dimainkan”.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - HARAKAHDAILY 14/1/2015

Share on Myspace