Kelantan syukur mahkamah tolak saman RM800 juta

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melahirkan rasa syukur apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan syarikat Timbermine Sdn Bhd berkaitan saman terhadap kerajaan negeri sebanyak RM800 juta.

Mahkamah juga mengarahkan syarikat terbabit membayar kos berjumlah lebih RM400,000 kepada kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perbicaraan kes itu berlangsung selama dua hari sebelum keputusan diumumkan semalam.

“Tiga peguam mewakili kerajaan negeri dalam kes tersebut termasuk Datuk Sulaiman Abdullah dan Raja Ahmad dari Tetuan Azmi.

“Perbicaraan penuh berlangsung sebelum bah besar melanda Kelantan baru-baru ini dan keputusan diumumkan semalam,” katanya di sini.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini dalam kes tersebut.

Mahkamah Rayuan mengetepikan saman berjumlah RM800 juta oleh Timbermine terhadap kerajaan Kelantan pada 23 Julai 2012. Ekoran itu syarikat tersebut membuat rayuan ke Mahkamah Persektuan.

Sebelum itu pada 30 Disember 2009 Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarah kerajaan negeri membayar RM800 juta kepada Timbermine di atas dakwaan berlaku perlanggaran syarat perjanjian.

Jumlah itu meliputi ganti rugi RM560 juta, ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja RM1.74 juta, faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Pada 1964 perjanjian diadakan antara kerajaan Kelantan dengan Timbermine bagi melakukan aktiviti pembalakan di hulu Kelantan.

Namun setelah kerajaan campuran dibentuk di negeri ini pada 1975 perjanjian itu dibatalkan hasil campurtangan pihak tertentu dan bukan berkaitan kerajaan PAS.

Ketika menghadapi pilihan raya umum 1978 Umno dan BN mencanangkan isu kerajaan PAS menggadai tanah balak kepada tauke dari Singapura.

Mohd Amar berkata, peguam Raja Ahmad menghubunginya sebelum perbicaaan penuh kes tersebut berlangsung dan berharap rakyat Kelantan menunaikan solat hajat.

“Kita bersyukur kerana fakta menyebelahi kerajaan negeri. Ia bukan menang kerana masalah teknikal sebaliknya fakta kes menyebelahi kerajaan negeri,” ujarnya.

Timbermine diwakili peguam Tan Sri Dr Shafie Abdullah. - HARAKAHDAILY 14/1/2015

Share on Myspace