Bekalan air bersih mendesak di kawasan kritikal banjir

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Penyelesaian segera bagi mangsa banjir di kawasan yang kritikal iaitu bekalan air bersih. Selain itu naskah-naskah al Quran tenggelam dalam selut di tapak runtuhan rumah.

Kampung Manek Urai Lama, Kemubu, Bertam Lama dan Pasir Tumbuh, penduduk berdepan dengan belenggu tersebut bagi meneruskan sisa-sisa kehidupan.

Hanya air mineral yang disumbang pelbagai pihak digunakan untuk berwuduk dan mandikan anak-anak ke sekolah.

Mereka berteduh di bawah khemah yang disumbang orang ramai termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN). Ada juga membina bangsal daripada sisa-sisa kayu runtuhan rumah.

Di sekeliling tapak rumah masih bersisa selut dan kayu, perabot dan sampah sarat yang hanyut.

Bertemankan lilin mereka solat dan makan malam sebelum melelapkan mata. Bekalan elektrik tidak lagi menjadi keutamaan dalam masa terdekat, tiang-tiang elektrik melentang di atas jalan.

Kabel elekrik jatuh terurai di atas tanah. Arus deras tsunami Sungai Lebir menyebabkan banyak tiang elektrik tidak mampu bertahan.

Malah sistem pendawaian di rumah penduduk putus dan hanyut bersama dinding rumah. Boleh ditemui kipas dan peralatan rumah tersangkut di tiang lampu.

Rahimah Sulaiman, 73 di Kampung Manek Urai menggunakan lebihan air banjir yang bertakung dalam kolah di rumahnya untuk berwuduk.

Sebahagian air kolah sudah digunakan bagi mencuci lumpur yang tebal di lantai dapur. Bumbung dan struktur kayu rumahnya dihanyutkan arus Sungai Lebir.

Sekarang tinggal bahagian depan rumahnya yang dibina daripada konkrit. Malah sebahagian dinding simen rumahnya juga runtuh.

“Selepas bah surut ada dua kali pihak yang menghantar air untuk kegunaan penduduk. Sekarang air dalam kolah sudah kering.

“Tidak mandi dua tiga hari itu perkara biasa bagi mangsa banjir. Kalau hujan boleh tadah air untuk mandi dan membasuh kain,” katanya di sini.

Sungai Lebir yang menjadi sumber utama air bagi kegunaan harian belum mampu dijejaki lagi. Selut dan lumpur tebal di tebing sungai.   

Ada penduduk terpaksa memakai baju sama tiga empat hari. Baju-baju dan pakaian lain yang sudah dipakai berlonggok di tepi khemah.  

Basri Ahmad, 56 membina bangsal bagi tempat berteduh keluarganya selepas rumah hanyut. MKN juga membina khemah di tapak runtuhan rumahnya.

Anak kecilnya yang menghadapi masalah kesihatan sering kali menangis pada waktu malam kerana kegelapan.

Baru-baru ini Gabungan Bantuan Banjir berharap kerajaan menyelesaikan segera isu air bersih di kawasan terbabit banjir bagi mengelakkan penularan penyakit.

Timbalan Pengerusi NGO terbabit Dr Abdul Halim Yusoff berkata, isu air bersih amat besar dan ia tidak boleh diselesaikan kecuali dengan kerjasama semua pihak. - HARAKAHDAILY 14/1/2015

Share on Myspace