Benarkah bantuan banjir cecah RM800 juta?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada bantuan bencana banjir yang diumumkan kerajaan Pusat berjumlah RM800 juta itu benar-benar wujud.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata ini berikutan pandangan mangsa banjir, pekerja bantuan dari pelbagai organisasi sivil dan parti politik menyatakan bahawa mereka tidak merasakan langsung nilai perbelanjaan RM800 juta itu sama ada di Kelantan, Terengganu mahupun Pahang.

“Adakah mana-mana menteri membangkitkan dalam Kabinet tentang dakwaan Maslan bahawa RM800 juta telah pun dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan?” soal Kit Siang dipetik Roketkini.

Jumlah RM800 juta itu diumumkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan pada 5 Januari lalu menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membantu mangsa di negeri-negeri yang terlibat dalam musibah banjir.

Peruntukan itu dikatakan untuk digunakan bagi membekalkan makanan, operasi logistik dan pembersihan rumah-rumah mangsa yang terlibat dalam musibah itu.

Malah kata Ahmad, rakyat perlu berlapang dada sebaik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan 1 April ini kerana sebahagian besar cukai tersebut akan digunakan bagi proses pemulihan dan membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

Justeru itu Kit Siang, sekiranya bil kerajaan persekutuan untuk menyediakan bekalan makanan, logistik dan kerja membersihkan rumah mangsa banjir telah pun mencecah RM800 juta pada 5 Januari, berapa pula tambahan belanjawan yang akan diumumkan selepas mesyuarat kabinet.

“Berapakah jumlah perbelanjaan kerajaan pada 14 Januari?" tanya beliau merujuk mesyuarat kabinet yang membincangkan perkara tersebut hari ini.

Share on Myspace