Pembalakan haram: MB minta menteri beri penjelasan

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sedia memberi kerjasama sekiranya pihak berkuasa mahu menyiasat dakwaan pembalakan haram punca banjir besar berlaku di Kelantan akhir Disember lepas.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri bersedia bekerjasama kepada mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu pembalakan haram.

“Sekiranya ada bukti kita minta mereka bawa kepada SPRM. Kita sedia memberi kerjasama 25 jam sehari.

“Saya hormati menteri yang mengambil maklum perkara itu. Bagaimanapun beliau perlu memberi penjelasan lebih lanjut supaya rakyat tidak keliru,” katanya di sini.

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan mendakwa banjir besar melanda Kelantan berpunca aktiviti pembalakan haram.

Malah menurutnya itu beliau mempunyai bukti bergambar mengenainya.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri mencadangkan isu banjir yang dikaitkan isu pembalakan haram di Kelantan dibincang pada mesyuarat Majlis Tanah Negara bagi mendapat maklumat lebih jelas.

Bina rumah kekal mangsa banjir

Mangsa-mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat bah besar akhir Disember lalu berpeluang memiliki kediaman baru yang diusahakan kerajaan negeri.

Kediaman kekal sebanyak 150 unit rumah akan dibina untuk mereka di Gua Musang, Kuala Krai dan Ketereh.

Ustaz Ahmad berkata kerajaan negeri sudah mengenal pasti tapak rumah yang bakal projek rumah bagi mangsa banjir terbabit.

“Di Kuala Krai tapak dikenal pasti di Kampung Manek Urai di kawasan seluas sembilan ekar,” katanya.

Menurutnya sebanyak 16 rumah kekal peringkat pertama ini akan dibina di Gua Musang, manakala di Ketereh sebanyak sembilan buah.

Beliau juga berkata, kos pembinaan tersebut termasuk disumbang kerajaan Selangor sebanyak RM6 juta. Sumbangan lain yang diterima bagi tujuan itu sebanyak RM4.77 juta lagi.

Katanya juga pembinaan rumah itu dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan berdasar pengalaman pembinaan rumah dhuafat di Kelantan.

Menteri Besar juga melahirkan rasa syukur kerana media membantu melaporkan berkaitan banjir di Kelantan sehingga bantuan datang mencurah-curah.

“Saya mengucap terima kasih kepada semua pihak yang tidak jemu datang membantu mangsa banjir di negeri ini sama ada kerajaan-kerajaan negeri, swasta, NGO atau orang perseorangan.

“Bantuan kewangan dan kemanusiaan mencurah-curah datang untuk membersih dan membaik pulih kawasan yang terjejas teruk akibat banjir,” ujarnya.  

Semalam Menteri Besar melakukan perasmian pecah tanah projek rumah rakyat budiman untuk mangsa banjir kelolaan Pemuda PAS Malaysia di Kampung Temiang, Dun Manek Urai. - HARAKAHDAILY 14/1/2015

Share on Myspace