Sukarelawan banjir digesa pantau tahap kesihatan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memantau situasi banjir yang masih melanda di beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Perak dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tumpuan aktiviti KKM pada masa ini adalah kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit.

Di samping itu, ujarnya pembangunan semula kemudahan asas seperti bekalan air dan tandas di kawasan luar bandar di bawah program Bekalan Air & Kebersihan Alam Sekeliling (Bakas) dan perkhidmatan kesihatan primer di kawasan terjejas banjir melalui penyediaan khemah sementara.

Selain itu, jelasnya ialah persediaan menghadapi peningkatan penyakit pasca banjir seperti leptospirosis, melioidosis, tifoid dan lain-lain penyakit bawaan air dan makanan serta aktiviti sokongan psiko-sosial kepada mangsa banjir terutamanya kepada anggota KKM yang terlibat dalam banjir.

Menurutnya, KKM juga telah meningkatkan pemantauan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes-kes penyakit berjangkit seperti leptospirosis dan melioidosis selepas banjir.

"KKM akan mengedarkan Kad Amaran Kesihatan (Health Alert Card) bagi penyakit leptospirosis, meliodosis dan typhoid kepada petugas, sukarelawan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang bertugas di kawasan banjir," ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Beliau juga mengingatkan petugas, sukarelawan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang bertugas di kawasan banjir hendaklah memantau tahap kesihatan masing-masing untuk tempoh selama 30 hari setelah kembali dari kawasan yang terlibat dengan banjir.

"Sekiranya mempunyai tanda atau gejala hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran dengan membawa bersama Kad Amaran Kesihatan dan memaklumkan sejarah pernah berada atau bertugas di kawasan banjir," katanya. - HARAKAHDAILY 15/1/2015

Share on Myspace